Jenayah

Didakwa Curi Aksesori, Pakaian Wanita

jenayah

KUANTAN – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas tuduhan mencuri aksesori dan pakaian wanita dalam sebuah pasar raya di sini kira-kira tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurzila Jais, 23 dari Kampung Baru Cendering dan Nooridayu Kadir, 23 dari Permatang Badang Perdana dekat sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang disebut secara berasingan di hadapan Majistret Jesseca Daimis.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Ungku Alfiati Zabeidah Ungku Ismail, Nurzila didakwa mencuri aksesori dan pakaian wanita berharga RM103.74 milik pasar raya terbabit kira-kira jam 6 petang 11 Mac 2011.

Manakala Nooridayu juga dituduh mencuri beberapa aksesori dan pakaian wanita bernilai RM119.94 di tempat, masa dan tarikh yang sama dengan tertuduh pertama.

Kedua-dua tertuduh yang bekerja sebagai kerani berjaya ditahan pekerja pasar raya sebelum diserahkan kepada polis pada hari yang sama.

Susulan kesalahan itu, kedua-dua mereka dihadapkan ke mahkamah itu semalam atas tuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam ditawarkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang bagaimanapun jumlah itu dikurangkan kepada RM3,000 selepas mereka membuat rayuan berhubung jumlah jaminan tersebut.

Dalam rayuannya, Nurzila yang kini mempunyai seorang anak merayu jumlah jaminan dikurangkan memandangkan dia turut menyara ibu dan keluarga dengan pendapatan kira-kira RM900 sebulan.

Manakala Nooridayu yang juga ibu kepada seorang anak turut membuat rayuan serupa memandangkan dia terpaksa menyara ibu dan adik dengan pendapatan RM900 sebagai kerani di sebuah syarikat di sini.

Mahkamah menetapkan 17 Februari depan sebagai tarikh sebutan pra bicara kes kedua-dua rakan itu dalam mahkamah sama.

-Sinar Harian-

http://www.sinarharian.com.my/didakwa-curi-aksesori-pakaian-wanita-1.244195

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");