Jenayah

Dun Batu Rakit Perkemas Jentera SRS

srs

BATU RAKIT – Dun Batu Rakit memperkemaskan jentera Skim Rondaan Sukarela (SRS)nya bagi mengekang jenayah di kawasan berkenaan sekali gus membentuk penyatuan yang lebih kukuh antara penduduk setempat.

Adun Batu Rakit, Bazlan Abd Rahman yang mengadakan lawatan mengejut ke beberapa pos kawalan SRS dekat sini, berkata, beliau sangat berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan ahli SRS dalam memastikan kampung masing-masing berada dalam keadaan selamat, meskipun kerja yang dilakukan itu tidak bergaji.

Menurutnya, dengan cara sebegini secara tidak langsung membentuk hubungan yang lebih kukuh antara masyarakat setempat.

Kata Bazlan, dengan penubuhan 10 KRT di kawasan itu setakat ini, beliau yakin hasrat untuk melihat semua kampung mempunyai kumpulan SRS sendiri akan tercapai nanti.

“Sekarang ini, kebanyakan SRS tidak buat rondaan setiap malam kerana pelbagai kekangan termasuk ada ahli yang terpaksa bekerja di siang hari, tetapi melihat komitmen yang ditunjukkan itu cukup membuatkan saya berpuas hati.

“Jadi, kita harap agar pada masa akan datang ada lebih banyak SRS yang membuat rondaan setiap malam dan dalam masa yang sama mampu menarik kesemua penduduk agar turut terlibat dalam menjaga keselamatan kampung,” katanya.

Bagi Pengerusi KRT Darat Batu Rakit, Zainal Awang Ngah, pihaknya membahagikan unit SRS kepada tiga kumpulan bagi memudahkan kerja-kerja rondaan dilakukan.

“Alhamdulillah, setakat ini, kerjasama yang ditunjukkan ahli sangat memberangsangkan dan kita tiada masalah untuk buat rondaan, ditambah dengan kelengkapan yang mencukupi untuk kerja-kerja meronda.

“Sekatan jalan turut dilakukan di semua pintu masuk dan keluar kampung yang utama bagi memastikan penjenayah tidak terlepas dan dalam masa sama memberi peringatan bahawa setiap tindakan mereka telah diperhatikan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Rizal Abd Razak berkata, kesemua SRS di Dun berkenaan telah dibekalkan dengan peralatan untuk keselamatan petugas yang meronda.

“Sehingga kini, kesemua SRS telah mendapatkan peralatan masing-masing antaranya vest, cota, lampu suluh, walkie talkie.

“Malah, kita juga dalam proses untuk melakukan pembaikan berkenaan teknik penggunaan walkie talkie kepada semua ahli SRS,” katanya.

-Sinar Harian-

http://www.sinarharian.com.my/dun-batu-rakit-perkemas-jentera-srs-1.244185

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");