Berita Hari Ini

Tanah Kebun Dalam ‘Sungai’

tanah kebun dlm sungai

SETIU – Pihak berkaitan khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diharap dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi mengatasi segera masalah hakisan tebing Sungai Payong Anak di Kampung Payong, Langkap, di sini, yang sudah berlanjutan empat tahun lalu.

Adun Langkap, Datuk Sobri Mohd Nor berkata, langkah itu perlu supaya masalah tersebut tidak menjadi lebih serius apatah lagi laluan utama ke kampung lama serta sekolah kini kian berisiko untuk turut terhakis.

“Saya dimaklumkan, masalah ini semakin serius sehingga telah menumbangkan sebatang tiang elektrik pada musim tengkujuh lalu. Hari ini (kelmarin), saya turun padang meninjau keadaan dan kita akan usaha selesaikan masalah hakisan ini secepat mungkin.

“Kita akan minta pihak berkenaan terutamanya JPS segera atasinya kerana ia boleh rosakkan infrastruktur jalan dan sekolah jika dibiarkan. Kita tidak mahu kesan lebih buruk lagi berlaku jika terus dibiarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau kesan hakisan tebing sungai tersebut, kelmarin.

Turut serta Pengerusi JKKK Kampung Payong, Othman Ismail@Abdullah.

Atasi masalah di laluan penting

Beliau berkata, jalan sekolah ini adalah laluan menghubungkan kira-kira 10 buah rumah penduduk ke jalan utama kampung.

“Hasil tinjauan saya mendapati terdapat beberapa kesan hakisan, tetapi kita akan atasi masalah di lokasi penting terlebih dahulu iaitu di kawasan sekolah ini.

“Berdasarkan perancangan, kita ingin jadikan kawasan ini sebagai taman rekreasi mini memandangkan kawasan sungai serta persekitaran yang cantik dan mampu menarik perhatian. Bagaimanapun, terlebih dahulu masalah hakisan perlu diatasi,” katanya.

Sobri turut meluangkan masa meninjau masalah hakisan tebing melibatkan kawasan kebun penduduk yang berlaku dipercayai berpunca daripada lencongan arus sungai di aliran keluar Sungai Nerus dan Sungai Payong.

Hakisan menghampiri kawasan sekolah

Sementara itu, Othman berkata, masalah hakisan tebing berdekatan sekolah itu mula dikesan berlaku lebih serius sejak empat tahun lalu dan pastinya ia perkara membimbangkan kerana saban tahun semakin menghampiri ke kawasan sekolah.

“Sekiranya tidak diatasi segera sudah pasti masalah ini semakin serius apatah lagi sehingga kini kira-kira enam meter tebing dipercayai sudah terhakis. Setiap kali musim tengkujuh atau hujan lebat, hakisan baru akan terjadi.

“Musim tengkujuh lalu telah pun menumbangkan sebatang tiang elektrik sekali gus menyebabkan hakisan makin hampir dengan jalan. Sehubungan itu, diharapkan perkara ini dapat perhatian sewajarnya daripada pihak berkaitan.

Katanya, kawasan ini suatu ketika dahulu sering menjadi lokasi aktiviti luar khususnya perkhemahan sekolah peringkat daerah kerana persekitarannya yang cantik serta udara nyaman.

“Bagaimanapun, akibat hakisan suasana di sini juga telah berubah,” katanya.

Keluasan tanah berkurang

Penduduk, Salleh Yusof, 62, berkata, kerana hakisan, keluasan sungai juga bertambah lebar sekali gus menyebabkan tanah kebun miliknya semakin ‘ghaib’ saban tahun akibat dibawa arus sungai.

“Hakisan libatkan tanah kebun di kawasan ini semakin teruk sejak tahun 2005.

“Kalau dulu tanah kebun pakcik ada tiga ekar (1.2 hektar), sekarang ini hanya tinggal setengah sahaja dan tidak mustahil selepas ini semuanya akan terhakis lalu dibawa arus sungai sahaja,” katanya.

-Sinar Harian-

http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tanah-kebun-dalam-sungai-1.244179

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");