Membawang Hari Ini

Faizal Ismail: ‘Saya bukan eksklusif!’

bukan eksklusif

SELEPAS mengumumkan persaraannya sebagai penyampai radio HotFM tahun lalu, rezeki Faizal Ismail atau lebih dikenali dengan nama FBI semakin mencurah-curah.

Jika dihitung, penglibatannya dalam bidang radio mencecah belasan tahun namun, demi menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang perniagaan dan keluarga, dia rela berkorban.

Ketika masih bertugas di konti radio, Faizal berkata, dia jarang dapat menghabiskan masa bersama keluarganya kerana terikat dengan komitmen.

Biarpun sudah bersara, dia masih belum dapat melupakan konti dan masih lagi bertugas di hujung minggu demi melepas kerinduannya ke udara.

Kini, Faizal dilihat kerap muncul di kaca televisyen mengendalikan pelbagai program bual bicara seperti Nasi Lemak Kopi O, Apa Saja FBI dan terbaharu, Fulus.

Dalam masa sama, Faizal juga dikatakan beralih arah setelah menerima tawaran TV Alhijrah sedikit sebanyak mengejutkan ramai pihak.

Sebelum ini, dia banyak terlibat dengan pelbagai program yang dianjurkan syarikat penyiaran Media Prima sehingga dia dicop sebagai ‘esklusif’ oleh stesen TV lain.

Tegasnya, dia bukan seperti yang digambarkan oleh pihak tertentu dan alasan terikat dengan jadual ketat menyebabkan dia terpaksa menolak banyak tawaran luar.

“Jika saya betul-betul eksklusif, saya tidak akan menerima tawaran stesen lain untuk mengendalikan program bual bicara.

“Tugas sebagai penyampai radio yang memerlukan komitmen tinggi membuatkan saya perlu berfikir banyak kali untuk menerima sebarang tawaran.

“Kini, saya lebih bebas untuk menerima mana-mana tawaran dari stesen TV lain kerana jadual saya lebih fleksibel,” tegasnya.

Gerun, kurang ilmu

Setelah menerima maklum balas positif, program mengenai kewangan Islamik iaitu Fulus musim kedua kembali dengan idea yang lebih segar dengan pelbagai topik menarik.

Menariknya, kali ini pengacara versatil iaitu mengambil alih tugas pengacara musim pertama, Afdlin Shauki.

Menurut FBI, pengalamannya mengendalikan program bual bicara itu amat berbeza dengan program hiburan yang cukup santai dan menghiburkan.

Program yang bakal disiarkan setiap Jumaat itu bermula 21 Februari depan jam 9 malam selama 30 minit di saluran TV Alhijrah.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu menceritakan cabaran menggalas tugas baharunya itu, Faizal berkata, berhadapan dengan panel-panel yang cukup pakar dalam kewangan Islam begitu menggerunkan.

Akuinya, kekurangan ilmu dalam bidang itu membuatkan dia takut dan gusar jika panel jemputan itu ‘menyerangnya’ dengan kepakaran mereka.

“Agak susah pada mulanya untuk saya melakukannya namun, atas dorongan dan semangat daripada penerbit program saya gagahi meneruskannya.

“Bukan mudah melakukannya dan penerbit turut berpesan agar menjadikan program serius ini kepada lebih santai dan ringan.

“Ia boleh dikatakan sebagai tarikan utama Fulus, malah setiap lapisan masyarakat boleh menontonnya kerana selain topik yang dibentangkan ia turut diselitkan dengan lawak jenaka,” katanya.

Tegasnya, program sebegitu membincangkan isu semasa dan turut mendedahkan kisah peribadi selebriti atau tetamu jemputan secara eksklusif buat penonton TV Alhijrah.

Tambahnya, selain kurang pengetahuan dalam bidang itu, masalah yang dihadapinya adalah untuk memahami terminologi atau terma-terma kewangan.

“Sebelum program bermula, saya mengkaji topik yang dibincangkan terlebih dahulu secara ringkas.

“Uniknya program ini, saya mewakili orang ramai untuk bertanyakan soalan untuk mendapatkan pencerahan mengenai topik perbincangan,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");