Berita Hari Ini

Harga ais naik: MyCC teliti dakwaan

mycc

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah membuat penelitian awal dakwaan mengenai perlakuan kartel untuk menaikan harga ais dan juga bekalan alat tulis.

Langkah itu diambil berikutan pengumuman baru-baru ini melalui iklan di akhbar tempatan bertarikh 24 Disember 2013 tentang keputusan menaikkan harga ais tiub oleh beberapa pengeluar ais, yang menyatakan mulai dari Januari 2014 harga ais tiub boleh dimakan dinaikkan sebanyak 50 sen setiap beg dan RM2.50 setiap blok ais. Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia juga telah mengumumkan kenaikan harga alat tulis berikutan kenyataan presiden persatuan tersebut seperti yang dilaporkan pada 27 Disember 2013 untuk menaikkan harga alat tulis pada suku pertama tahun 2014.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan juga telah menyeru MyCC untuk meneliti kemungkinan tingkah laku kartel oleh Persekutuan Pertubuhan Penjual Alat Tulis dan Buku Malaysia.

“Kenaikan harga bukanlah suatu perlakuan anti-persaingan tetapi jika kenaikan harga tersebut merupakan hasil daripada perjanjian untuk menetap harga oleh mana-mana persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, perlakuan tersebut dianggap pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Shila Dorai Raj.

Tambahnya lagi, MyCC telah memberikan mesej yang tegas kepada persatuan-persatuan dalam beberapa bulan yang lepas untuk menghentikan perlakuan pakatan sulit mahupun penetapan harga, tetapi tingkah laku persatuan-persatuan yang semakin berleluasa baru-baru ini telah memberi MyCC tiada pilihan tetapi mengambil langkah untuk menghentikan tingkah laku sedemikian. Jika perusahaan ingin menaikkan harga oleh kerana faktor kos yang semakin meningkat, ianya patut dilakuan secara bebas serta tidak terikat kepada apa-apa perjanjian.

Mana-mana persatuan atau kumpulan yang berpakat untuk menaikkan harga merupakan salah laku yang serius di sisi undang-undang. Penalti maksimum sebanyak 10% perolehan boleh dikenakan jika didapati melanggar akta tersebut.

Walaupun MyCC tidak berperanan mengawal atau memantau kenaikan harga tetapi jika kenaikan harga tersebut merupakan hasil daripada perjanjian untuk menetap harga oleh mana-mana persatuan atau kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar, perlakuan tersebut dianggap pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melarang perusahaan, termasuk persatuan, dari menetapkan, secara langsung atau secara tidak langsung suatu harga belian atau jualan atau apa-apa syarat perdagangan yang lain untuk barang-barang dan perkhidmatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan mana-mana persatuan dan perusahaan perniagaan yang melibatkan diri dalam amalan penetapan harga atau berkelakuan seperti kartel boleh menghubungi MyCC di 03-22732277 atau melalui e-mel di [email protected].

Untuk maklumat lanjut tentang MyCC dan Akta Persaingan 2010, sila rujuk laman web MyCC di www.mycc.gov.my .

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");