Berita Hari Ini

Isu Pulau Batu Putih: Serah kepada Kerajaan Pusat

MOHAMED KHALED NORDIN

GELANG PATAH – Sebarang keputusan berhubung Pulau Batu Putih tertakluk kepada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, sebarang tindakan berhubung isu itu sama ada tindakan menilai semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) ke atas pulau tersebut yang berpihak kepada Singapura pada 2008 diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan.

“Perkara ini pernah ditimbulkan pada perhimpunan Umno Malaysia oleh wakil Johor, sama ada apa pun tindakan tertakluk kepada Kerajaan Pusat,” katanya selepas merasmikan pembukaan kilang GCB Speciality Chocolates Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, semalam.

Kelmarin, Pas Johor menubuhkan pasukan khas Kedaulatan Pulau Batu Putih sejak 4 Januari lalu bagi menilai semula keputusan ICJ yang disuarakan Pesuruhjayanya, Aminolhuda Hassan.

Tindakan itu dibuat bertujuan bagi mengumpulkan bukti baharu bagi mendapatkan semula hak kedaulatan itu kepada negeri ini mengikut cara perundangan yang sah susulan pengakuan bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim yang mendakwa berlaku salah laku membabitkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail ketika mengendalikan kes berkenaan.

Sementara itu dalam majlis sama, Mohamed Khaled berkata, Johor bakal menjadi ‘negeri coklat’ bersandarkan 85 peratus industri pengisaran koko bertapak di negeri ini daripada jumlah keseluruhan 300,000 tan metrik setahun yang dikeluarkan negara.

Katanya, hasrat tersebut mampu direalisasi susulan kehadiran pemain utama industri berasaskan coklat melabur di negeri ini.

“Kehadiran syarikat Guan Chong Berhad (GCB) yang merupakan keempat terbesar di dunia dalam sektor pengisaran koko memberi kelebihan industri koko ini yang menyumbang kepada kepelbagaian jenis industri di Johor.

“Syarikat terkenal pembuatan coklat, Hershey’s juga memilih melabur di Johor tahun lalu dan kita jangkakan satu lagi syarikat dari luar negara akan bertapak di Johor pada tahun ini,” katanya selepas merasmikan pembukaan kilang GCB Speciality Chocolates Sdn Bhd di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah, semalam.

Dalam merealisasikan hasrat itu juga, Mohamed Khaled melihat potensi penanaman koko di kalangan masyarakat yang boleh direbut peluang memenuhi permintaan antarabangsa terhadap pengeluaran coklat yang dijangka akan mengalami defisit terhadap bekalan koko dalam tempoh satu dekad.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");