Perak Hari Ini

JPN Perak Tunggu Hasil Siasatan PPD Batang Padang Sebelum Ambil Tindakan

PERAK TODAY 2

Jabatan Pelajaran Perak sedang menunggu hasil siasatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batang Padang berhubung kejadian seorang guru di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina (SJKC), dekat Sungkai yang didakwa memakaikan loceng di leher dua muridnya selepas gagal menyiapkan kerja sekolah yang diberi.

Pengarahnya, Muhamat Roli Hassan, berkata tindakan lanjut akan dihanya diambil selepas pihaknya mendapat laporan terperinci berhubung insiden yang berlaku pada 23 Januari lalu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim, Datuk Seri Ong Ka Chuan meminta agar semua pihak tidak menjadikan kes itu sebagai isu perkauman.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Som Sam Din Keliaw pula berkata, guru terbabit yang baru mengajar dua tahun di sekolah itu mengaku melakukan perbuatan itu tetapi menafikan tindakannya memberi dua murid tersebut memakan rumput.

Semalam, seorang ibu mendakwa anaknya telah didenda secara melampau oleh seorang guru di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina dekat Sungkai, baru-baru ini.

Pengadu, Yarnis Kasuma Zainal Abidin telah membuat satu laporan polis berhubung tindakan melampau guru tersebut terhadap anak lelakinya, Mohd Izat Iqbal Mohd Harith dan rakannya, Muhammad Nasvinder Mohd Amit atas alasan tidak menyiapkan kerja sekolah.

Guru terbabit didakwa memakaikan loceng di leher kedua-dua murid itu dan kemudiannya memaksa mereka memakan rumput pada ketika waktu rehat.

Menurut bapa saudara salah seorang murid terbabit, Muktasim Hashim, 28, berkata tindakan guru tersebut tidak berperikemanusiaan kerana sanggup memberi hukuman denda sedemikian rupa kepada anak muridnya.

“Empat murid melakukan kesalahan iaitu dua berbangsa Cina dan dua lagi murid Islam, iaitu Mohd Izat Iqbal dan Muhammad Nasvinder yang dihukum denda memakai loceng dan dipaksa makan rumput,” katanya.

Jelasnya, tindakan yang diambil pihak keluarga bukan atas dasar anti perkauman sebaliknya mahu memberi pengajaran kepada guru tersebut yang telah melanggar etika perguruan.

Biarpun pemohonan maaf telah dinyatakan oleh guru terbabit, namun bagi pihak keluarga murid, ia masih tidak mencukupi.

“Kita harap tindakan tegas diambil terhadap guru tersebut kerana kedua-dua murid terbabit berada dalam keadaan trauma ekoran kejadian itu,” katanya lagi sambil menegaskan laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Sungkai, petang semalam.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");