Laporan Eksklusif, Perak Hari Ini

Kanak-kanak Derita Penyakit Kepala Besar Perlu Bantuan Segera

denis

Ketika kanak-kanak lain gembira bermain dan tersenyum riang, Deniss Eqwan Adif Affendy yang menderita penyakit hidrosefalus atau kepala besar sejak lahir hanya terbaring lesu, apatah lagi tahap kesihatannya semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Pastinya, si ibu, Erni Yusnita Kamaluddin insan yang paling tersentuh melihat anak kesayangan terlantar sakit dan menanggung penderitaan sedemikian rupa.

Tumbesaran anak kelima daripada enam adik beradik itu yang kini berusia enam tahun terbantut malah perutnya semakin membuncit selain kulit di beberapa bahagian badan terutama di lutut menjadi kering.

Menerusi kiriman pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada wakil media baru-baru ini, Erni Yusnita memaklumkan anaknya sedang bertarung nyawa melawan jangkitan kuman di paru-paru.

“Anak saya baru keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dan keadaannya masih tidak menentu.

“Saya memerlukan bantuan kewangan untuk membawa Dennis Eqwan Adif menjalani rawatan di pusat rawatan swasta dengan kadar segera memandangkan perjumpaan di hospital kerajaan ditetapkan pada Mac depan,” katanya.

Sebelum ini, Erni Yusnita dilaporkan berkata anaknya disahkan menghidap penyakit tersebut sejak lahir dan pernah menjalani pembedahan ketika berusia dua minggu bagi membuang cecair di dalam kepala.

Katanya, Deniss Eqwan Adif juga perlu mendapatkan rawatan susulan setiap enam bulan di hospital, namun pemeriksaan itu tidak dapat dilakukan akibat kemiskinan yang menghimpit mereka sekeluarga.

“Deniss Eqwan Adif hanya minum susu setiap empat jam. Itu pun terpaksa dicatu.

“Dia juga perlukan losen dan sabun khas untuk kulit bagi mengelak kulitnya menjadi kering tetapi kami tidak mampu sediakan semua itu kerana belanja makan pun tidak cukup,” katanya yang tinggal di Taman Harmoni, dekat Buntong, Ipoh.

Walaupun menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan untuk Deniss Eqwan Adif, ia katanya, masih jauh daripada mencukupi.

Katanya, dalam sebulan, beliau memperuntukkan sebanyak RM250 bagi membeli susu dan lampin pakai buang untuk anaknya manakala ubat dan vitamin terpaksa diabaikan ekoran kesempitan wang.

“Saya bekerja sebagai pembantu rumah dengan gaji sebanyak RM20 sehari manakala suami, Affendy Abd. Hamid, 32, bekerja di bengkel kimpalan dengan gaji RM700 sebulan.

“Dengan pendapatan sebanyak itu, kami tidak mampu menyediakan segala barang yang diperlukan Deniss Eqwan Adif. Malah, abang dan kakaknya juga sebelum ini terpaksa berhenti sekolah sebelum menyambung semula persekolahan sejak dua bulan lalu hasil bantuan majikan saya,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Dennis Eqwan Adif boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Erni Yusnita nombor 0810341000047784.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");