Perak Hari Ini

“Kerajaan Negeri Tidak Sembunyi Maklumat”: Menteri Besar

airport-ipoh-2012-a

“Jika Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negeri (PAC) ingin mengadakan mesyuarat bagi mendapatkan maklumat dan membuat siasatan, saya tiada halangan mengenainya”.

Begitu tegas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berhubung projek menaiktaraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dekat Ipoh yang kini dijadikan bahan politik oleh pihak pembangkang.

“Perkara ini saya yang mulakan dan saya sendiri tidak berpuas hati mengenainya dan ia begitu mendukacitakan,” katanya lagi.

Jelasnya, semua pihak ingin mengetahui maklumat sebenar berkenaan projek tersebut dan punca perkara itu berlaku.

“Jika keadaan sebenar lapangan terbang itu telah diketahui terlebih dahulu kenapa projek menaiktaraf tetap diteruskan dan dibenarkan,” jelasnya lagi.

Namun, beliau menegaskan agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi hanya berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan berkaitan keadaan lapangan terbang itu.

“Saya difahamkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA) ia hanyalah laporan awal manakala Jabatan Mineral Perak pula sedang melakukan kajian berkaitan keadaan sebenar struktur lapangan terbang tersebut,” katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa perkara lagi yang belum selesai dan tidak dapat dipastikan lagi samada landasan kapal terbang tersebut itu berada pada tahap yang bahaya atau sebaliknya.

“Jika sebaliknya, jadi saya tiada masalah mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Nga Kor Ming kerana beliau adalah salah seorang ahli PAC dan beliau bertanggungjawab mengenainya,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sebarang pendapat mengenai projek itu boleh diterima dengan hati terbuka dan pihaknya tiada sebarang bantahan atau sesuatu yang mahu disembunyikan daripada pengetahuan umum.

“Saya harap Pengerusi PAC, Datuk Mohd Tarmizi Idris akan merujuk perkara ini dan mengadakan mesyuarat dengan secepat mungkin.

“Kita berasa sedih kerana projek ini berada di bawah kelolaan Kementerian Pengangkutan serta DCA dan seharusnya langkah awal perlu dimaklumakan kepada pihak kerajaan negeri mengenai senario yang sebenar,” tambahnya.

Ujar Zambry, kerajaan negeri telah menyusun perancangan untuk menyelenggara lapangan terbang itu dan penyebaran maklumat mengenai kos menaiktaraf lapang terbang itu yang kononnya mencecah sehingga RM42 juta adalah tidak benar dan perlu diselidik dengan lebih terperinci.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");