Jenayah

Lebih 20 kes tahun lalu

20 kes

PULAU CAREY – “Kami tidak mahu ramai lagi nyawa penduduk di sini melayang, jadi pihak bertanggungjawab perlu mengambil perhatian masalah penduduk,”.

Demikian luahan penduduk, K Arumugam yang menyifatkan tiada pihak yang berusaha meningkatkan keselamatan pengguna lalu lintas laluan menghala ke Pulau Carey.

Beliau yang mewakili Persatuan Kaum Tamil India memaklumkan kawasan itu menjadi lokasi kemalangan sehingga meragut nyawa.

Katanya, sudah lebih 20 kes berlaku sepanjang tahun lalu, namun masih belum menemui jalan penyelesaian.

“Permohonan lampu jalan di sepanjang 17 kilometer bermula di jambatan Pulau Carey seolah-olah tidak perlu walaupun kemalangan sering berlaku pada waktu malam.

“Malah penduduk terpaksa berhadapan pelbagai risiko termasuk 15 tahun melalui kawasan gelap sehingga terdapat pemandu melanggar haiwan seperti lembu dan anjing liar,” katanya.

Arumugam berkata, Sabtu lalu sahaja sebuah kereta melanggar sekumpulan lembu di kawasan itu.

Katanya, dia percaya lebih banyak lagi kemalangan akan berlaku seandaianya tiada pemantauan.

Sementara itu, penunggang motosikal, Mohd Amirullah Hairudin 23, berkata, dia nyaris maut selepas terlanggar kereta dan sekumpulan anjing liar.

Katanya, tiada penyelesaian sehingga penduduk terpaksa bertarung nyawa kerana tiada kemudahan lampu jalan.

“Apa yang merisaukan kita adalah jika lebih ramai lagi mangsa maut berikutan tiada usaha meningkatkan ciri keselamatan sepanjang jalan ini.

“Saya amat khuatir masalah ini akan berpanjangan tanpa sebarang tindakan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Zon 6, Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), E Munusamy berkata, setiap tahun hampir 10 kemalangan berlaku di laluan itu, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak bertanggungjawab.

Katanya, bukan sahaja dimaklumkan tiada peruntukkan malah seolah-olah pihak bertanggungjawab mengambil sikap sambil lewa berkenaan isu ini.

“Sepanjang menjadi ahli majlis pun lebih tujuh kali permohonan dibuat, namun tiada tindakan bahkan penduduk Orang Asli sudah malas hendak buat aduan lagi.

“Dalam pada itu, lori keluar masuk juga dilihat tidak dipantau apabila mereka melakukan kerja penyelenggaraan tanpa mengikut masa yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");