Jenayah

Nyaris maut ditetak jiran

nyaris maut ditikam jiran

ALOR SETAR – Seorang peniaga kedai makan nyaris maut, manakala anak lelakinya cedera selepas diserang dua lelaki dikenali menggunakan senjata tajam di pekarangan kediaman mereka di Taman Desa Rena, Kuala Kedah, dekat sini.

Dalam kejadian lebih kurang jam 11.30 pagi, kelmarin, mangsa, Jamil Ismail, 58, mengalami kecederan parah apabila cuba menyelamatkan anak lelakinya yang diserang jiran satu taman perumahan mereka.

Difahamkan, mangsa ditetak menggunakan pisau pemotong daging sehingga mengalami kecederaan di bahagian kepala, tapak tangan dan pergelangan tangan, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mula bergaduh mulut

Mohd Hafiz Jamil, 22, berkata, insiden tetak terbabit dipercayai berpunca daripada berperang mulut antara mereka sekeluarga dan jiran berkenaan sehingga berlakunya tragedi tidak disangkakan itu.

“Pergaduhan mulut berkenaan dipercayai bermula apabila jiran terbabit terasa hati dengan kata-kata saya.

“Sedangkan, percakapan tersebut tidak ditujukan kepada dirinya, sebaliknya hanya luahan hati saja.

“Ia bermula, selepas saya sedar kayu dari rumah kami hilang sebelum ditemui di padang. Sebaik menemuinya, saya bertanyakan siapa mengambilnya. Bagaimanapun, dia menyangkakan saya menuduh dirinya mencuri kayu itu,” katanya.

Katanya, pergaduhan mulut berkenaan berlarutan antara mereka di dewan serbaguna taman perumahan, sebelum keadaan tegang terbabit ditenangkan beberapa jiran lain, manakala dia dan bapanya pulang ke kediaman mereka.

Bagaimanapun, katanya, jiran terbabit bersama seorang lagi lelaki dipercayai adiknya datang ke kediaman mereka kira-kira tiga minit kemudian, sebelum salah seorang daripadanya mula menyerang menggunakan besi.

Katanya, tangan kirinya cedera sewaktu mempertahankan dirinya daripada serangan berkenaan, manakala bapanya ditetak tidak lama kemudian dari arah belakang kepalanya oleh jiran terbabit ketika ingin menyelamatkan nyawanya.

Tak sangka kayu jadi punca

Manakala, isteri mangsa, Siti Rahmah Ahmad, 53, berkata, dirinya tidak menyangka kayu bakau yang didakwa baru dibawa pulang ke rumahnya dari kedai makan mereka akan menjadi punca kepada pergaduhan tersebut dengan ahli keluarganya.

“Sebelum ini, mereka tidak pernah dilihat bergaduh mulut sekalipun. Ini kali pertama, jadi tak sangka sehingga bawa kecederaan. Benda nak jadi, tapi sememangnya mak cik rasa tak sedap hati semenjak bawa kayu itu pulang,” katanya.

Katanya, dirinya yang sedang di kedai makan mereka terkejut apabila dimaklumkan kenalan berlakunya satu pergaduhan membabitkan suaminya dengan jiran satu taman, sebelum bergegas ke klinik berdekatan untuk melihat keadaannya.

Lebih menyedihkan, katanya, selain anaknya cedera,  kepala suami berlumuran darah, lalu anak lelakinya membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kedah pada hari sama insiden tetak berkenaan berikutan bimbang kejadian buruk berulang kepada mereka sekeluarga semula.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung kes tetak di kediaman penduduk sebuah taman perumahan di Kuala Kedah, dekat sini, kelmarin.

Katanya, pihak polis akan melakukan siasatan berhubung aduan berkenaan, manakala mana-mana suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tetak terbabit akan ditahan demi membantu siasatan lanjut kes tersebut.

Dalam pada itu, Adzaman berkata, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");