Berita Hari Ini

Pengeksport Jerman intai Malaysia

jerman

EKSPORT Jerman dijangka meningkat tiga peratus tahun ini dan pengeksport negara itu mengintai pasaran Asean, dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam perkiraan dagangan mereka.

Menurut unjuran terbaru Persekutuan Pemborong Jerman, Perdagangan Asing dan Perkhidmatan (BGA), pemangkin eksport ekonomi Jerman dijangka menunjukkan lonjakan besar.

Nilai eksport Jerman keseluruhannya diunjurkan mencapai tahap tertinggi 1.142 trilion euro (RM5.12 trilion) pada 2014.

Selepas ketidaktentuan pada 2013, pengeksport Jerman berharap untuk mencapai prestasi lebih baik tahun ini.

Mereka dilihat tertarik dengan penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) pada 2015, kerana ia akan menghapuskan hampir semua halangan kepada dagangan antara negara Asean dan memudahkan pergerakan barangan, penduduk dan modal.

Mereka yakin Malaysia boleh memainkan peranan sebagai pintu ke pasaran AEC yang lain.

Konsultan pengurusan Jerman Reinhard Kopke yang arif dengan pasaran di Asia Tenggara berkata, kemudahan asas yang baik dan iklim mesra dagangan akan menjadi tarikan utama syarikat Jerman untuk mewujudkan pangkalan di Malaysia dan mengembangkan operasi mereka di rantau Asean yang mempunyai pasaran pengguna seramai 600 juta.

“Pelaburan di Malaysia juga akan membuka dagangan lebih besar di rantau itu kerana banyak daripada produk dipasang, sama ada secara keseluruhan atau sebahagiannya, boleh dieksport semula ke negara Asean lain tanpa bimbang mengenai duti atau halangan lain,” katanya.

Terdapat lebih 350 syarikat Jerman mempunyai wakil langsung di Malaysia dengan kira-kira 70 daripadanya mempunyai kilang pengeluaran.

Sejak beberapa tahun lalu, Malaysia muncul sebagai pengeksport utama di Asean ke Jerman dengan dagangan dua hala antara Jerman dan Malaysia pada 2012 mencecah 10.4 bilion euro (RM46.6 bilion).

Jerman ialah rakan dagangan terbesar Malaysia di Kesatuan Eropah dan rakan dagangan ke-10 terbesar dunia.

Eksport utama Malaysia termasuk produk elektronik dan elektrik, kelengkapan pejabat, sayur dan lemak teknikal serta minyak, produk getah dan pelbagai produk berasaskan kimia.

Antara eksport Jerman ke Malaysia ialah produk mesin, kenderaan, pesawat, produk berasaskan besi dan farmaseutikal.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");