Perak Hari Ini

Sektor Perumahan Agenda Utama Kerajaan Negeri: DS Zambry

zambry meeting

Kerajaan Perak mensasarkan membina 15,000 unit rumah mampu milik di seluruh negeri itu dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

“Kita di pihak kerajaan negeri sedang merancang untuk membina rumah yang ditawarkan dengan harga yang berpatutan dan mampu untuk dimiliki oleh semua rakyat.

“Penetapan harga rumah mampu milik ini bukan sekadar berdasarkan kepada pemerhatian dan spekulasi semata-mata kerana ia boleh menjejaskan pertumbuhan pembangunan kelak,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco yang pertama bagi tahun 2014 di Ipoh, sebentar tadi.

Katanya lagi, pemaju juga perlu memberi perhatian berdasarkan kepada permintaan sesebuah kawasan dan keperluan rakyat.

“Kerajaan sedang memantau harga-harga rumah di negeri Perak dan kita inginkan harga rumah yang berpatutan dan mampu dimiliki oleh semua,” tambahnya lagi.

Sementara itu juga, beliau berkata, kerajaan negeri juga bakal bekerjasama dengan semua pihak termasuklah pemaju swasta bagi merealisasikan sasaran tersebut.

Tambah Zambry lagi, kerajaan negeri ingin memberi tumpuan membina rumah mampu milik, rumah kos rendah dan sederhana yang mampu membantu serta mengurangkan beban rakyat.

“Sekiranya kita membina rumah dengan harga yang cukup tinggi pastinya ramai yang tidak mampu memilikinya. Jadi kita akan melihat perkembangan itu supaya dapat ditangani lebih baik,” katanya.

Ujarnya lagi, pembinaan rumah jenis mampu milik ini bakal melibatkan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Negeri (SEDC), Perumahan Rakyat 1Malaysia Bhd (PRIMA) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Perancangan awal adalah membina anggaran 3,000 unit rumah dengan memilih lokasi yang sesuai kerana kita tidak mahu masalah teknikal dan sebagainya akan timbul kelak,” tambahnya lagi.

Sementara itu juga, permohonan untuk melaksanakan projek perumahan di Perak begitu rancak sekali ditambah pula dengan pemintaan yang tinggi daripada pembeli.

“Ada di kalangan pemaju ini memerlukan pandangan dan persefahaman daripada pihak kerajaan supaya harga rumah yang ditawarkan kelak berpatutan serta memberi pulangan yang setimpal,” kata Zambry lagi.

Jelasnya, dasar-dasar sedia ada perlu digunapakai kerana sektor perumahan bukan sekadar mengejar keuntungan semata-mata.

“Pihak pemaju hendaklah memahami hasrat kerajaan kerana rakyat memerlukan perumahan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

“Persefahaman daripada setiap pihak iaitu pemaju, kerajaan dan rakyat perlu jelas dan harga rumah antara RM200,000 atau RM150,000 di Perak adalah fleksibel untuk semua,” tegasnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");