Sukan Hari Ini

Piya tuntut semangat berpasukan

piya

SEMANGAT berpasukan menjadi rencah utama The Red Warriors (TRW) menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang membuka tirainya malam esok setelah pasukan tersebut berdepan penghijrahan lebih separuh pemain tonggak pada musim lalu.

Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi menuntut semangat itu daripada sepasukannya sebaik sahaja tirai Liga-M disingkap bermula dengan pertemuan sulung menentang Sime Darby FC di Kota Bharu, pada Sabtu ini.

“Saya masih percaya dengan kekuatan yang ada pada pasukan ini. Sebelum ini ramai penyokong sangsi setelah hanya tinggal 12 pemain lama kekal bersama pasukan ini tetapi saya sentiasa berpandangan positif mengenai perkara ini.

“Jika kami dapat bermain dengan semangat satu pasukan, Insya ALLAH kemenangan akan memihak Kelantan. Dalam bola sepak, faktor ini memainkan peranan penting dan saya mahu pasukan ini kekal beraksi dengan cara seperti itu,” katanya kepada Sinar Harian di Majlis Pelancaran Jersi TRW 2014, di Perdana Resort, kelmarin.

Mengulas pertemuan menentang Sime Daby FC, Mohd Badhri atau dikenali Piya mengharapkan kemenangan memihak pasukannya pada aksi sulung di gelanggang keramat mereka biar pun tidak banyak diketahui mengenai kekuatan dimiliki naib juara Liga Premier musim lalu itu.

“Ini adalah perlawanan pertama dan sudah pasti kedua-dua pasukan mahukan kemenangan. Sebagai tuan rumah, Kelantan juga hendak menang kerana tiga mata ini bakal menentukan hala tuju pasukan ini dalam saingan liga selepas ini,” katanya.

Menurut pemain mendapat jolokan ‘Kapten Marvel’ itu, prestasi hambar pasukannya pada awal saingan liga musim lalu memberi pengajaran dan beliau tidak mahu perkara tersebut berulang .

Dalam pada itu, jeneral padang berusia 32 tahun itu mengharapkan jersi baharu TRW yang direka bentuk semula memberi tuah kepada Kelantan bagi merealisasikan misi meraih sekurang-sekurangnya satu kejuaraan pada saingan Liga-M musim ini.

“Bagi saya, sasaran ini merupakan satu cabaran dilontarkan oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa kepada pasukan ini. Jika kami mahu mencapai sasaran itu, kami perlu berusaha lebih keras kerana tidak ada sesuatu yang mustahil dalam bola sepak.

“Secara peribadi saya akui beberapa pasukan seperti Johor Darul Ta’zim I, Terengganu dan Angkatan Tentera Malaysia merupakan antara pencabar utama tetapi kemampuan Kelantan juga tidak boleh diketepikan kerana pihak pengurusan juga telah membawa masuk ramai pemain yang hebat,” katanya.

-SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");