Berita Hari Ini

Polemik kalimah ALLAH perlu dihentikan

khalimah Allah

SHAH ALAM – Kaji selidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) berkenaan isu kalimah ALLAH menunjukkan polemik isu tersebut yang digunakan bagi kepentingan politik tidak mendatangkan kelebihan justeru perlu dihentikan.

Sekreteriat UMcedel, Universiti Malaya dalam hasil kaji selidiknya menunjukkan, hanya berbeza beberapa peratus sahaja responden yang memihak kepada sesebuah parti dalam penggunaan isu itu sekiranya diadakan PRU dalam masa terdekat.

Menurutnya, dalam konteks politik Malaysia, perbezaan yang sangat tipis itu tidak mampu memberi kelebihan kepada mana-mana parti jika isu ini dieksploitasi untuk tujuan politik.

“Jelas menunjukkan bahawa isu kalimah ALLAH yang hangat dimainkan oleh pihak media ini tidak membawa kepada perubahan secara drastik sokongan pengundi Melayu kepada parti yang disokong sebelum ini.

“Isu ini lebih banyak menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum daripada mendapat manfaat politik kepada mana-mana parti jika terus dimainkan,” katanya berdasarkan hasil kaji selidik yang dilakukan ke atas 1,676 responden melibatkan kaum Melayu, Cina dan India yang dijalankan pada 6 hingga 8 Disember tahun lalu.

Berdasarkan laporan tersebut, pola sokongan terhadap parti digunakan untuk menentukan parti manakah yang mendapat manfaat daripada isu kalimah ALLAH itu.

“Hasilnya, 45 peratus responden memihak kepada BN, 40 peratus responden berpihak kepada PR dan bakinya 15 peratus tidak pasti.

“Oleh itu, kedua-dua parti ini dilihat tidak mendapat kelebihan daripada isu ini kerana perbezaan antara dua parti ini hanya lima peratus sahaja,” katanya.

Laporan turut mendapati, penggunaan kalimah itu merupakan satu isu yang sangat sensitif dalam kalangan responden Melayu berbanding responden Cina dan India.

“Secara keseluruhannya, seramai 77 peratus responden Melayu menyatakan bahawa kalimah ALLAH tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.

“Bagi responden Cina dan India pula, masing-masing 21 peratus dan 28 peratus tidak bersetuju penggunaannya oleh penganut agama lain selain daripada Islam,” jelas laporan itu.

Tambah laporan itu juga, kaji selidik berdasarkan taraf pendidikan menunjukkan bahawa tahap pendidikan tidak memainkan peranan yang besar dalam mempengaruhi pendirian responden kerana isu ini merupakan isu asas bagi setiap umat Islam.

“Kesemua latar belakang pendidikan responden bermula daripada mereka yang tidak mempunyai pendidikan sehinggalah mereka yang mempunyai ijazah tidak bersetuju dengan isu penggunaannya oleh penganut agama lain.

“Agak menarik, golongan yang tiada pendidikan juga merupakan golongan yang paling tinggi tidak menyokong kalimah ALLAH boleh digunakan oleh penganut agama lain iaitu sebanyak 50 peratus,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");