Sukan Hari Ini

Selangor Mendahului Carta Liga Super

slngr

KUALA LUMPUR: Selangor berjaya memintas Kelantan untuk menerajui persada liga selepas mengalahkan Pahang 1-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selasa.

Jaringan tunggal pemain importnya Paulo Rangel pada minit ke-58 membantu skuad ‘Merah Kuning’ memintas Kelantan yang jatuh ke tangga keempat selepas tewas 2-1 kepada pasukan PKNS.

Terengganu melonjak enam anak tangga untuk menghuni tangga kedua selepas mengalahkan T-team 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Gol skuad Penyu itu dijaringkan oleh pemain import Marcio Souza Da Silva pada minit ke-40 dan Ashaari Samsudin (minit ke-58).

Di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Baharu, Kelantan mengalami kekalahan pertama selepas dua perlawanan apabila dikejutkan oleh pasukan PKNS 2-1.

Skuad ‘The Red Warriors’ bagaimanapun memulakan aksi dengan garang apabila apabila Ahmad Fakhri Saari menanduk gol pertama, hasil hantaran lintang oleh Mohd Badri Radzi pada minit ke-30.

Kegembiraan Kelantan tidak kekal lama apabila skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan menyamakan kedudukan menerusi Mohd Fauzan Dzulkifli pada minit ke-40 sebelum Mohd Arip Amiruddin mengesahkan kemenangan PKNS dua minit kemudian.

Di Stadium Negeri, Petra Jaya, Kuching, Sarawak memulakan rentak kemenangan selepas dua kekalahan dengan mengalahkan Sime Darby 3-0.

Sarawak, juara Liga Perdana musim lepas, memperolehi dua penalti akibat kekasaran pihak lawan dengan kapten pasukan, Joseph Kallang Tie menyempurnakan penalti pertama pada minit ke-11 diikuti percubaan sama oleh pemain import Gabor Gyepes pada minit ke-49.

Penyerang import dari Serbia, Milorad Janjus, yang gagal mencari gawang pada dua perlawanan sebelum ini, akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-67.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pasukan tuan rumah, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalahkan Perak 1-0 menerusi jaringan Juan Manuel Arostegui pada minit ke-19.

Sementara itu, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Baharu, pasukan Lions XII dari Singapura bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat Johor Darul Ta’azim (JDT) dengan keputusan seri 2-2.

Pemain import Luciano Figueroa dan Pablo Aimar meletakkan JDT pada kedudukan selesa 2-0 pada separuh masa pertama dengan jaringan pada minit ke-28 dan 41.

Bagaimanapun, Lions XII melancarkan serangan kilat dalam tempoh dua minit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Khairul Amri Jamal pada minit ke-66 dan dua minit kemudian oleh Hafiz Abu Sujad.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");