Membawang Hari Ini

Sudah ada pengganti

hafiz

KECUNDANG dengan bekas tunang tahun lalu, tidak membuatkan pencetus fenomena zikir terapi, Hafiz Hamidun, serik untuk mencari pengganti.

Menyedari ikatan pertunangan akan melalui banyak rintangan dan bimbang kejadian sama berulang, Hafiz kini mempunyai prinsip untuk terus berkahwin dengan wanita pilihannya.

Akui sudah mempunyai calon pilihan, anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini, bagaimanapun belum sedia untuk mendedahkan tarikh perkahwinan mereka.

“Tentang kahwin tu bila tiba masa yang sesuai saja akan diumumkan. Namun, tiada perkembangan dan masih belum mendapat tarikh lagi buat masa ni,” katanya.

Hafiz yang tidak pernah berselindung tentang hubungannya dengan bakal isterinya itu turut mengakui perhubungan yang dibina masih dalam proses mengenali hati budi masing-masing.

Pelantun Melihat Bintang ini juga turut berkongsi sifat wanita pilihannya yang telah menyentuh hatinya.

“Alhamdulillah, dia seorang yang sangat memahami dan seorang yang jujur. Jika ada dua sifat itu dalam perhubungan ia dengan sendirinya akan mengukuhkan hubungan tersebut.

“Saya bersyukur kerana kami ada banyak persamaan. Saya menerima dia seadanya dan berharap dia juga begitu,” katanya yang mahukan hubungan yang dibina berjalan lancar.

Tak henti berjuang 

Sudah tentunya bagi membuka lembaran baharu setiap orang pasti ada keazaman yang tersemat di hati begitu juga dengan pelantun Kesaktian Cinta ini.

Menurut Hafiz, azamnya pada tahun ini adalah ingin bekerja keras di samping memperbanyakkan lagi kerja-kerja amal.

Menurutnya, ia sebagai pendorong untuk menyemarakkan lagi semangatnya supaya terus berjuang sekali gus mencari reda ALLAH SWT.

Selain pencapaian terbesar Hafiz menerusi konsert solo pertamanya, Konsert Zikir Terapi Diri pada November tahun lalu, penyanyi yang memperjuang muzik nasyid dan ketuhanan ini juga turut berdakwah menerusi lagu yang dinyanyikan.

Hafiz yang sebelum ini tampil dengan empat album solo, ternyata membawa fenomena baharu dalam muzik nasyid sehingga membuatkan dua album zikir terapi yang dipasarkan menerima sambutan hangat masyarakat.

Ini membuktikan semakin ramai permintaan masyarakat untuk input kerohanian sekali gus penyampaian dakwahnya diterima baik.

“Alhamdulillah, kedua album mendapat sambutan yang begitu baik, sekarang saya baru keluarkan sebuah single berjudul Jodoh Berdua dan akan menambahkan lagi karya saya pada tahun 2014 untuk dimanfaatkan sekali gus memberi kesan mendalam kepada pendengar.

“Saya harap single terbaru ini diterima sepertimana muzik yang saya hasilkan sebelum ini. Inilah perjuangan saya.

“Insya-ALLAH, saya juga akan adakan konsert solo di Spice Penang pada 1 Februari ini,” katanya

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");