Membawang Hari Ini

The Lone Survivor, garapan kisah benar

lone survivor

PERKARA yang menarik mengenai filem ini yang menjadikan ia filem yang lain dari lain adalah selitan video latihan sebenarnya yang perlu dijalani oleh setiap individu sebelum menjadi tentera, pada lima minit pertama permulaan jalan cerita.

Ia memperlihatkan latihan yang begitu keras, ketat dan kadangkala ‘kejam’ tidak kira siang dan malam, sehingga ada di antaranya mengalah ketika sesi latihan kerana tidak sanggup terus ‘terseksa’ dari bergelar tentera.

Seterusnya, penonton akan disajikan dengan sedutan misi menyelamat Wahlberg sebagai Luttrell yang berjaya tiba di hospital tentera dengan jantungnya juga sudah terhenti, dan seterusnya mengimbau kembali kejadian tiga hari sebelum itu.

Pada pandangan penulis, filem ini bergerak dengan perlahan pada mulanya dengan memaparkan kehidupan tentera di kem masing-masing dengan perbualan-perbualan kosong mengenai sedutan kehidupan mereka dan antara di antara anggota sudah pun berkahwin.

Paparan di kem yang meliputi durasi hampir 20 minit inilah yang sedikit ‘menjejaskan’ tumpuan penonton kerana ia digerakkan secara selamat tanpa apa-apa momen menarik. Malah, ketika empat anggota tersebut tiba di setiap ‘checkpoint’ yang ditetapkan juga, tiada apa yang menarik perhatian penonton.

Sehinggalah, babak mereka ‘kantoi’ apabila tiga penduduk tempatan yang merupakan penggembala naik ke bukit untuk membawa kambing ternakan mereka meragut rumput.

Bagi memastikan misi mereka tidak gagal, Luttrell mengarahkan mereka ditangkap, namun melepaskan mereka atas dasar belas kasihan, dia melepaskan kembali tanpa menyedari ia menjadi titik kegagalan operasi tersebut.

Sifat kemanusiaan

Dan apabila mereka mula diserang, pada pendapat penulis, bermula dari itulah filem ini menjadi sebuah filem yang cukup menarik untuk ditonton. Biarpun dilihat mempunyai peluang untuk menang biarpun perlu berlawan dengan lebih 100 anggota Taliban, namun kekurangan peluru dan bahan letupan menjadi peluang mereka semakin malap.

Apatah lagi apabila seorang demi seorang ditembak di beberapa anggota badan memaksa mereka terjun dari bukit, yang sebenarnya lebih membahayakan mereka.

Kecederaan demi kecederaan menyaksikan Danny berjaya ditawan Taliban sebelum ditembak mati. Manakala Murphy yang melihat keadaan semakin genting, sanggup memanjat kembali ke puncak untuk menghubungi kem biarpun menyedari dia bakal berdepan kematian.

Pada saat inilah, penonton akan tersentuh melihat semangat setiakawan dan perjuangan dua orang tentera untuk terus hidup biarpun terpaksa bertahan sehingga titisan darah terakhir seperti Axelson yang sudah bertalu-talu di tembak, namun terus bertahan.

Meskipun pada mulanya dipaparkan kekejaman Taliban, namun Berg turut menyelitkan masih ada umat Islam yang mempunyai sifat berperikemanusiaan dan menyelamatkan Luttrell yang ketika itu diburu tentera.

Malah, biarpun hampir di bunuh, seluruh penduduk di kampung itu sanggup bergadai nyawa dan mempertahankan Luttrell daripada di tahan Taliban.

Lakonan mantap

Paling menarik di dalam filem ini, tidak ada kesan-kesan khas, sebaliknya segala yang berlaku dijayakan oleh pelakon dan pelakon lagak ngeri dalam setiap babak.

Lokasi gunung yang berbatu-batu dan curam juga menambah kengerian penonton dan rasa simpati terhadap empat anggota tersebut dalam misi menyelamatkan diri.

Malah, penonton juga akan dihidangkan dengan adegan-adegan tembakan yang lebih ‘real’ dan akan membuatkan anda memejamkan mata kerana tidak sanggup melihat mereka di tembak.
Selain itu, lakonan mantap ke semua pelakon yang terlibat juga membuatkan filem ini benar-benar ‘hidup’.

Bagi memastikan penonton terkesan dengan jalan cerita dan setiap anggota yang terkorban, Berg turut menyelitkan beberapa gambar dan video sebenar anggota, sebelum mereka terkorban dalam misi itu.

Turut juga diselitkan gambar Luttrell bersama penduduk kampung yang telah menyelamatkannya sebelum ini. Justeru bagi merasai sendiri debaran Luttrell dan rakan-rakannya, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");