Berita Hari Ini

Muhyiddin turun padang tinjau harga barang

turun padang

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini turun padang ke empat premis perniagaan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung situasi harga barang keperluan harian rakyat.

Tinjauan bermula kira-kira 8.30 pagi itu melibatkan Pasar Raya NSK Selayang, Pasar Harian Selayang, Pasar Mini Snofa di Taman Greenwood dan sebuah restoran di Taman Sri Gombak.

Muhyiddin yang diiringi Menteri Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Hasan Malek dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelihatan serius ketika mendapatkan penerangan daripada semua peniaga dan pemilik premis perniagaan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan pengunjung yang membeli barang di semua premis berkenaan bagi mendengar keluhan mereka mengenai kenaikan harga barangan semasa.

Muhyiddin meluangkan masa kira-kira 30 minit di setiap premis tersebut.

Pada sidang media kemudiannya, Muhyiddin berkata tinjauan itu dilakukan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas situasi harga barang, terutama barang keperluan harian rakyat.

“Memang benar ada harga barangan yang naik, tapi saya juga diberitahu oleh pembeli ada harga barangan yang turun, ini memang fenomena sejak dulu (harga turun naik), bukan kerana lawatan saya,” katanya.

Beliau juga memuji Pasar Raya borong NSK yang menjadi antara pembekal barangan pengguna dan menjual dengan harga berpatutan.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata kerajaan melalui KPDNKK akan memberi sijil pengiktirafan dan mempromosikan mana-mana premis perniagaan di seluruh negara yang menawarkan harga berpatutan secara stabil.  – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");