Berita Hari Ini

Tidak wajar naik tambang

spad

IPOH – Pengusaha bas sekolah tidak wajar menaikkan kadar tambang tanpa kebenaran berikutan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) belum meluluskan kadar baharu perkhidmatan itu.

Exco Pelajaran Negeri, Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, SPAD juga telah mengeluarkan amaran kepada pengusaha supaya tidak berbuat demikian.

“Pengusaha bas seharusnya ikuti undang-undang ditetapkan SPAD sehingga mendapat keputusan yang kolektif.

“Malah, mereka perlu guna saluran betul dan tidak wajar sewenang-wenangnya membuat keputusan sendiri,” katanya semalam.

Muhammad Amin berkata, bagaimanapun, kerajaan negeri sedia berbincang dengan pengusaha terbabit bagi menyelesaikan isu yang boleh menjejaskan persekolahan murid-murid terlibat itu.

“Kita hanya boleh beri pandangan dan nasihat kepada pengusaha bas serta sedia bantu atur rundingan antara mereka dengan kementerian dan SPAD sendiri,” katanya.

Muhammad Amin berkata, beliau kesal dengan tindakan pelajar mengadakan demonstrasi di tepi jalan di Bagan Datoh kelmarin.

Katanya, tindakan itu tidak perlu dan ibu bapa perlu menyatakan bantahan itu kepada saluran betul.

Sementara itu, Exco Kemudahan Awam, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin ketika dihubungi memohon SPAD mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung isu kenaikan kadar tambang bas sekolah itu.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini cuba berbincang dengan pengusaha bas berhubung masalah sama.

“Kita memang sudah cuba menekankan kepada pengusaha bas agar tidak menaikkan kadar caj ini, apa-apa pun kita minta SPAD untuk mengambil tindakan,” katanya.

Sebelum ini, SPAD menerusi kenyataan di laman web rasminya menyatakan pihaknya tidak meluluskan tambang baharu dan mana-mana surcaj ke atas bas sekolah sehingga suruhanjaya itu mengumumkan skim tambang bas baharu Mac ini.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");