Jenayah

Tukang rumah mati lemas

tukang rumah mati lemas

MARANG – Hasrat seorang tukang rumah untuk menyiapkan sebuah rumah penginapan selepas mendapat projek kecil itu bersama adiknya dan tiga lagi rakan mereka lebih sebulan lalu tidak kesampaian apabila ditemui lemas, di sini, semalam.

Abidin Ahmad, 39, dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman, lemas setelah dihanyutkan ombak ketika mandi bersama seorang seorang rakannya, Ghazali Mohamad Saleh, 23, di Pantai Pasir Putih, di sini, kelmarin.

Ghazali berkata, dia dan mangsa mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 3.30 petang, namun setengah jam selepas itu mangsa yang berada agak jauh daripadanya tiba-tiba ditarik  ombak setinggi tiga meter ke tengah laut.

Menurutnya, melihat rakannya mengalami kesukaran untuk berenang semula ke arah pantai, dia segera berenang menuju ke arah mangsa untuk menyelamatkannya.

“Saya berjaya pegang tangannya, tetapi mengalami kesukaran membantunya untuk berenang semula ke pantai kerana badan Abidin lebih besar daripada saya.

“Saya akhirnya terpaksa lepaskan tangannya sebab letih dan turut mulai lemas kerana air laut sudah banyak masuk ke dalam mulut saya. Dia (mangsa) pula seperti ditarik ke tengah lautan sebelum hilang,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Ghazali berkata, dengan saki baki tenaga yang ada dia kemudian menjerit sekuat hati meminta pertolongan sebelum jeritannya didengari seorang lagi rakan mereka, Ibrahim Mat Amin, 38, yang kebetulan berada di pantai.

“Ibrahim terus terjun selamatkan saya yang ketika itu sudah kehabisan tenaga untuk berenang. Abidin pula sudah tidak lagi kelihatan dan tenggelam tanpa kami sedari,” katanya.

Sementara itu, adik mangsa, Mohd Zikir Ahmad, 32, yang tinggal menyewa satu kilometer dari pantai berkenaan bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa abangnya sebelum membuat laporan polis kira-kita jam 5 petang.

Dia yang sedih dengan kejadian itu menyifatkan abangnya seorang yang baik dan rajin membantu keluarga termasuk mendapatkan projek untuk membina sebuah rumah penginapan di pantai berkenaan bermula sejak lebih sebulan lalu.

“Kami berlima menyewa di Kampung Pasir Putih untuk menyiapkan sebuah rumah penginapan di pantai. Abang mendapat projek itu sebelum mengajak saya, Ghazali dan Ibrahim serta seorang lagi rakan tinggal di kampung ini.

“Kami termasuk arwah akan tinggal di kampung ini sehingga pembinaan rumah penginapan tersebut selesai, namun hasratnya untuk menyudahkan projek itu tidak kesampaian kerana lemas di pantai betul-betul berhadapan rumah penginapan itu,” katanya.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat diketuai Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya yang bermula sejak 8.30 pagi, semalam, berjaya menemui mangsa kira-kira 100 meter dari tempat mangsa lemas pada jam 3.25 petang.

Ahmad Mazlan berkata, mangsa beralamat dari Bandar Cheneh Baru, Kemaman dan mayatnya dibawa ke Hospital Dungun sebelum dituntut ahli keluarganya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Marang, Zamri Awang Long yang turut berada lokasi kejadian menasihatkan orang ramai tidak melakukan sebarang aktiviti khususnya mandi di pantai ketika ini kerana ombak kuat.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");