Sukan Hari Ini

BAM cuba pujuk Misbun kembali

misbun

Kuala Lumpur: Selepas dikatakan gagal mencapai kata sepakat dengan Morten Frost Hansen untuk dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini difahamkan dalam perancangan untuk memujuk Datuk Misbun Sidek kembali bekerja dengan badan induk itu.

BAM didakwa enggan meneruskan rundingan dengan Morten Frost yang juga bekas jaguh perseorangan Denmark selepas dia dikatakan meminta gaji yang tinggi sekali gus membuatkan badan induk itu tidak mampu untuk menunaikan permintaan berkenaan.

Sebagai ‘pelan B’, BAM kini sedang menilai beberapa calon lain dikalangan jurulatih luar negara dan tempatan termasuk Misbun yang sudah pasti mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan.

Menurut sumber, perkara itu turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kebolehan, Skil dan Penyelidikan (CSR) yang dipengerusikan presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff, malam kelmarin.

Kredibiliti Misbun yang meninggalkan BAM pada Disember 2011 sememangnya tidak boleh dipertikaikan apabila dia adalah individu yang bertanggungjawab meletakkan Datuk Lee Chong Wei memegang status pemain nombor satu dunia sejak 2008 hingga kini selain membantu jaguh perseorangan negara itu memenangi pingat perak Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Kekal Koo-Tan

Andai berjaya mendapatkan khidmat Misbun yang didakwa meletak jawatan kerana sudah tidak sehaluan dengan pengurusan badan induk berkenaan yang ketika itu diterajui Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh, BAM sudah pasti akan turut dapat membawa masuk anaknya kembali, Misbun Ramdan Misbun (gambar).
Ramdan membuat keputusan meninggalkan BAM pada awal tahun lalu bagi mendapat bimbingan Misbun dan hasilnya cukup positif apabila dia berjaya meraih empat kejuaraan antarabangsa sepanjang 2013 – Siri Antarabangsa Slovenia, Greece dan Portugal serta satu Cabaran Antarabangsa Ireland.

Sementara itu, BAM dilapor akan terus mengekalkan beregu nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sekurang-kurangnya hingga Sukan Komanwel yang berlangsung di Glasgow, Scotland, Julai depan kerana yakin pasangan itu dapat menyumbangkan mata untuk acara berpasukan campuran.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");