Jenayah

Dalang curi kenderaan diberkas

dalang curi

BESUT – Penahanan seorang remaja membongkar kegiatan curi motosikal dan kereta yang dipercayai aktif dilakukan sejak tahun lalu apabila 13 rangka kenderaan ditemui semula terbenam di dalam sungai.

Suspek berusia 19 tahun dari Kampung Raja Lama itu ditahan polis selepas cuba mencuri sebuah motosikal di Kuala Besut, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek mengaku pernah mencuri puluhan motosikal di sekitar Kampung Raja dan Kuala Besut.

Menurutnya, suspek turut menunjukkan lokasi tempat dia membuang rangka motosikal dan kereta di dalam tali air kawasan pintu air Skim Pengairan Pangkalan Nangka dekat bulatan Kampung Lampu.

“Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah ke lokasi dan menemui 11 rangka pelbagai jenis motosikal serta dua rangka kereta Perodua Kancil.

“Suspek dipercayai telah mengambil komponen kenderaan yang dicuri untuk dijadikan alat ganti kemudian membuang rangka ke dalam tali air tersebut untuk mengelak dikesan,” katanya.

Polis percaya dengan penahanan suspek dan penemuan rangka tersebut akan menyelesaikan banyak kes curi kenderaan di daerah ini.

Kamaruddin berkata, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 379(a) Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, IPD Besut diancam akan dicederakan dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki ketika cuba memberkasnya dalam serbuan di Kampung Gong Penaga dekat Kampung Air Terjun, Jertih, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, polis cuba menahan seorang suspek berumur 39 tahun, namun ketika cuba melarikan diri, suspek mengancam akan menikam anggota yang cuba memberkasnya.

“Bagaimanapun polis berjaya menumpaskan suspek dan menahannya, manakala pemeriksaan lanjut menemui 26 biji pil berwarna merah dipercayai  methamphertamine (pil kuda) .

“Turut dirampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek untuk mengancam anggota polis yang cuba memberkasnya,” katanya.

Kamaruddin berkata, setengah jam sebelum itu, pasukan polis yang sama berjaya memberkas sepasang suami isteri ketika sibuk membungkus dadah di sebuah rumah dekat Kampung Air Terjun, dipercayai untuk diedarkan kepada pelanggan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");