Perak Hari Ini

Penyokong Pembangkang Dibayar Hantar Surat Palsu Ke Pejabat Speaker Perak

kaseven-513

Seorang lelaki yang mengaku dirinya sebagai penyokong pembangkang tampil membantu siasatan berhubung penghantaran surat palsu ke pejabat Speaker Perak yang menyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S Kesavan mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Polis Perak, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, yang mengesahkan perkara itu juga berkata, lelaki berusia 60an itu mendakwa diupah oleh seorang lelaki yang tidak dikenali untuk menghantar surat tersebut ke pejabat Speaker pada Selasa lalu.

Lelaki itu katanya, turut memaklumkan tidak mengetahui langsung mengenai kandungan sebenar surat tersebut.

“Dia mendakwa menerima surat itu daripada seorang lelaki yang tidak dikenalinya ketika hadir pada program perjumpaan politik di Kajang, Selangor.

“Justeru, kita sedang menjalankan siasatan bagi mengenalpasti lelaki yang didakwa mengupah penghantaran surat terbabit,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan IPD Ipoh, di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada Kesavan, semalam selain merakamkan percakapan kakitangan pejabat SUK yang terbabit dalam penghantaran surat itu bagi membantu siasatan, katanya.

Surat palsu yang diterima oleh pejabat Speaker itu katanya, turut dirampas.

Pada Selasa, surat bertarikh 2 Januari tersebar luas di laman media sosial di mana Kesavan didakwa meletakkan jawatan sebagai ADUN Hutan Melintang dan mengisytiharkan keluar PKR akibat hilang keyakinan dan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan parti.

Keesokannya, Kesavan tampil membuat laporan polis berhubung perkara itu dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang terkandung dalam surat terbabit yang disifatkannya sebagai usaha pihak tertentu untuk mencemar nama dan reputasinya sebagai wakil rakyat selain memburuk-burukkan imej PKR di mata rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");