Membawang Hari Ini

Depan Mata: Pacu Semangat Kuda

david teo

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Itu pepatah lama dan bagi produser jutawan, David Teo ada pepatahnya sendiri. Kalau takut filem tak laku, jangan buat filem. Simpan saja duit dalam bank, boleh juga dapat bunga.

Itulah nasihatnya kepada produser filem tanah air memandangkan industri filem Melayu agak gawat sejak tahun lalu dan senario itu dikatakan makin teruk tahun ini.
Melihat situasi ini, ramai produser mengambil langkah berhati-hati kalau mahu menerbitkan filem. Bukan saja bimbang tidak untung, malah paling ditakuti, tidak pulang modal.

Selepas bahagi dengan pemilik panggung dan kalau dibeli Astro First atau disiarkan di televisyen selepas itu, mungkin ada yang balik modal.
Itu bagi filem dihasilkan dengan kos sederhana. Kalau modal tinggi dan kutipan rendah, memang semput nafas memikirkannya.
Bagi produser baru, mungkin tidak begitu dirasai kerana modal dari pinjaman bank diberikan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Memanglah kalau pinjaman tetap perlu dibayar tapi kalau kutipan rendah dan tidak untung, memang tiada daya hendak membayarnya semula.
Bagi David, produksinya, Metrowealth Pictures (MIG) tidak sedikit pun goyah dengan kegawatan ini, malah terus memacu ke depan dengan menghasilkan satu demi satu filem sepanjang tahun lalu dan momentum itu diteruskan tahun ini.

Semangatnya lebih berkobar-kobar apabila mensasarkan 20 filem, seterusnya mencapai matlamat menghasilkan 100 filem dalam tempoh lima tahun.
Kalau sebelum ini MIG berjaya menghasilkan 100 filem selama 13 tahun (2000 hingga 2013) tetapi untuk 2014 hingga 2018 mahu hasilkan 100 filem.
Mungkin ada yang mengatakan tindakan David gila, tetapi itulah semangat beraninya. Mungkin bagi mana-mana produser yang ada, ia satu impian yang tidak tercapai dek akal. Menghasilkan dua atau tiga filem setahun pun payah, inikan pula 20 filem. Namun ia bukan omong kosong kerana MIG memulakannya tahun lalu dengan 20 filem, manakala filemnya yang ditayangkan sepanjang 2013 ialah 17 dan 12 lagi menanti tayangan tahun ini. Daripada 17 filem itu, Ustaz Mu Tunggu Aku Datang dan Highland Tower mencatat kutipan tinggi iaitu lebih RM3 juta. Walaupun ada filemnya tidak menguntungkan, amalan berkongsi rezeki tetap dilakukan sempena sambutan Tahun Baru Cina sebagai tanda bersyukur dengan rezeki diterima. Ia diadakan di Shah Alam baru-baru ini dan dihadiri artis di bawah naungan MIG Talent serta jemputan lain untuk sama-sama menyaksikan detik bahagia kru dan pelakon dua filem itu, kakitangannya yang mendapat pencapaian tinggi dan juga media. Tentunya pada malam itu semua pihak tersenyum lebar apabila diri mereka dihargai. Sempena Tahun Kuda sekarang, David percaya dengan semangat kedatangan tahun baru. Sebagaimana kuda yang berlari pantas, persediaan perlu untuk mencapai kejayaan kerana akan ada halangan dan cabaran besar apabila kuda berlari mengharungi air.
“Jika tidak bersedia menghadapi cabaran itu, sebaik-baiknya berfikir panjang sebelum mahu melabur menghasilkan filem. Lebih baik simpan saja duit yang ada dalam bank atau mungkin boleh beralih dengan menghasilkan drama untuk TV yang menjanjikan keuntungan,” katanya.
Untuk 2014, pelbagai genre dan jalan cerita disajikan bukan hanya filem komedi dan seram, malah genre drama berat. Antara dinantikan tentulah Adnan Sempit Sawadikap yang tidak pernah menghampakan sejak filem pertama hinggalah siri ketiga yang ditayangkan tahun lalu. Begitu juga Pengantin Malam menggandingkan Nora Danish dengan Farid Kamil serta gandingan tiga hero, Shaheizy Sam, Farid dan Fezrul Khan dalam Kitai.
Bermula Khamis lalu, filem Jangan Pandang Belakang Boleh? mula menjengah pawagam, sekali gus satu bonus bagi MIG apabila ditayangkan pada musim cuti perayaan sempena Tahun Baru Cina.

 

 

– HARIAN METRO –

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/DepanMata_Pacusemangatkuda/MA/Article/index_html

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");