Sukan Hari Ini

‘Hormat boleh, gentar jangan’

AFC 2014MEHMET (dua dari kanan) bersalaman dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Suharno selepas selesai sidang akhbar di Hotel Crystal Crown di ibu negara semalam:-

STRATEGI menyerang bagi memburu tiga mata berharga bakal menjadi taruhan Selangor ketika melayan kunjungan Arema Indonesia dalam aksi pembuka tirai Kumpulan F kempen Piala AFC 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam ini.

Justeru, pengendali Gergasi Merah, Mehmet Durakovic tidak menolak kemungkinan menurunkan keempat-empat pemain importnya iaitu Steve Pantelidis, Andik Vermansyah, Juninho dan Paulo Rangel dalam perlawanan itu.

“Ini peluang pertama saya menurunkan kesemua pemain import dalam perlawanan yang sama, jadi mengapa tidak?

“Namun, saya perlu meneliti segala-galanya terlebih dahulu dalam sesi latihan terakhir sebelum menentukan kesebelasan utama.

“Saya harap kesemua pemain dapat memberikan yang terbaik sekali gus membawa pulang tiga mata berharga, tambahan pula kami beraksi di laman sendiri, jadi tiada sebarang alasan untuk gagal,” katanya pada sidang akhbar di Hotel Crystal Crown di ibu negara semalam.

Untuk rekod, hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi dalam satu-satu perlawanan bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan pendaftaran empat pemain import termasuk seorang daripadanya mestilah dari Asia.

Mengulas lanjut, Mehmet juga percaya anak-anak buahnya sudah melupakan kekecewaan dibelasah Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-4 dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 15 Februari lalu.

“Barang yang lepas usahlah dikenang, yang sudah itu sudahlah. Saya percaya pemain sudah melupakan kekalahan di tangan Johor DT tempoh hari.

“Kini, kami perlu membuka lembaran baharu dan perlu menjinakkan Arema yang tampak garang apabila memiliki beberapa pemain import yang berkualiti,” katanya.

Mehmet juga enggan anak-anak buahnya terlalu menghormati reputasi yang dimiliki Arema selaku juara Liga Super Indonesia (ISL) 2009/2010.

“Hormat boleh, gentar jangan. Kalau takut, semua benda tak jadi apa.

“Kalau kami berhasrat membawa pulang tiga mata, kami perlu bermula garang seawal minit pertama dan menyerang habis-habisan.

“Buat masa ini, kesemua pemain bebas untuk diturunkan, selain saya juga gembira apabila kami beraksi di Selayang kerana permukaan padang yang jauh lebih baik berbanding Stadium MBPJ.”

– KOSMO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");