Membawang Hari Ini

Kenangan manis Dia bertaut

dia

Demi Dia Frampton, ada peminat dari Lembah Klang dan Johor Bahru sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menyaksikan persembahan istimewa penyanyi terbabit di Hard Rock Cafe, Batu Feringgi, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Sehubungan itu, ruang pusat hiburan terkenal itu dipenuhi lebih 200 penonton yang tidak mahu melepaskan peluang menonton persembahan dan bertemu lebih ­dekat dengan Dia yang juga naib juara musim pertama program realiti terkenal Amerika Syarikat iaitu The Voice.

Sememangnya gadis kacukan Belanda dan Korea yang dicungkil bakat melalui The Voice dua tahun lalu mempunyai kelompok peminat tersendiri dalam kalangan remaja.

Gadis kelahiran Utah, Amerika Syarikat yang lebih mesra disapa Dia hadir ke Pulau Pinang bersama kakaknya, Meg Frampton dan rakannya yang juga pemain gitar dari Filipina, Carlo Gimenez berkongsi kenangan manis ketika berada di sini.

Dia ketika ditemui berkata, selama tiga hari berada di Pulau Pinang, dia berkesempatan mengunjungi tempat pelancongan menarik selain menikmati pelbagai makanan enak popular di Pulau Mutiara.

Walaupun pernah berkunjung ke Kuala Lumpur tahun lalu, kesempatan singgah di Pulau Pinang sangat mengujakannya.

“Kenangan manis di sini (Pulau Pinang) akan dikenang sampai bila-bila. Paling istimewa apabila disambut penuh mesra dan gembira oleh semua peminat selain bersorak kegembiraan bukan saja ketika sesi ramah mesra tetapi sepanjang persembahan istimewa saya ini,” katanya.

Dalam persembahan istimewa itu, Dia turut membawakan tiga lagu yang pernah dipersembahkannya dalam The Voice iaitu Heartless (Kanye West) pada suku akhir, Losing My Religion (REM) ketika separuh akhir dan lagu ciptaannya, Inventing Shadows yang dibawa dalam final The Voice musim pertama.

Lebih menyeronokkan dalam persembahan yang bermula waktu petang itu apabila peminat turut menyanyikan lagu Stars dan The Broken Ones yang dipetik daripada album sulungnya, Red.

Bagai tidak lengkap apabila penyanyi berusia 27 tahun itu turut menunjukkan kebolehannya bermain piano sambil menyanyi dan diiringi Meg dan Carlo yang bermain gitar.

Sejurus persembahan berakhir, Dia bersama Meg dan Carlo tidak melepaskan peluang bermesra sambil bergambar kenangan termasuk ada peminat bertuah mendapat tandatangan istimewa Dia pada kemeja-T dan gitar mereka.

Dia ketika ditemui selepas persembahan berkata, segala kenangan manis di Pulau Pinang tidak akan dilupakan, malah dia bercadang untuk kembali untuk bercuti bagi tempoh lama bersama keluarga.

“Layanan yang diterima amat baik dan semua orang di sini cukup baik hati dan peramah membuatkan hati saya menjadi senang tanpa rasa gusar. Saya sayangkan anda semua,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");