Sukan Hari Ini

Kontroversi stadium berakhir

stadiumKUALA NERUS – Penantian sejak lebih lima tahun rakyat negeri ini untuk melihat Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, kembali bersinar seakan menampakkan petanda positif apabila kerja penambahbaikan sedang giat dilakukan.

Stadium yang menelan kos RM291 juta dan pertama di Asia menggunakan rekaan bumbung tanpa sokongan tiang itu menyembah bumi pada 2 Jun 2009, selepas tidak sampai setahun digunakan, sekali gus mencetuskan pelbagai polemik serta kemarahan rakyat negeri ini.

Tidak cukup dengan insiden yang disifatkan memalukan itu, kerajaan negeri terus dihentam dengan pelbagai tohmahan setelah struktur utama bumbung stadium yang menjadi venue utama Sukan Malaysia (Sukma) ke-12 2008, di mana pada ketika itu Terengganu menjadi tuan rumah buat kali pertama.

Bermula dari situ jugalah Terengganu terus diberi gelaran ‘Darul Runtuh’ oleh pelbagai pihak yang turut terkejut dengan kejadian berkenaan, di samping mendapat liputan menyeluruh pihak media.

Bahan binaan tidak berkualiti

Pada 18 Julai 2013, Dewan Rakyat dimaklumkan penggunaan bahan binaan dan kualiti kerja yang tidak mengikut spesifikasi dalam pembinaan SSMZA antara punca yang menyebabkan keruntuhan struktur bumbung stadium terbabit.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, jawatankuasa penyiasat kementerian itu juga mendapati faktor lain adalah rekaan bentuk bumbung yang tidak memadai serta pengawasan dan kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak projek.

Rentetan itu, kontraktor asal yang terlibat sudah didakwa dan sedang dalam proses perundangan, sekali gus bakal menjawab siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam insiden memalukan itu.

Malah, turut difahamkan, berdasarkan perjanjian asal sepatutnya kos membaik pulih stadium yang boleh memuatkan kira-kira 50,000 penonton itu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor terlibat.

Runtuh kali kedua

Bagaimanapun, isu stadium runtuh sekali lagi menghangatkan suhu politik di negeri ini apabila ia runtuh kali kedua hingga mengakibatkan lima pekerja dengan tiga daripadanya parah setelah dihempap kerangka lama bumbung yang dalam proses perobohan.

Akibat itu juga, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Ahmad Said sering dikritik dan didakwa tidak serius menyelesaikan isu stadium berkenaan kerana ramai beranggapan tiada sebarang tindakan diambil.

Walhal, kerja pembersihan sisa runtuhan telah dilakukan sebaik siasatan oleh pelbagai pihak termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) selesai dilakukan, namun disebabkan proses membaik pulih dilihat berjalan ‘perlahan’ ramai yang menyuarakan ketidakpuasan hati.

Bagaimanapun, pendedahan yang dibuat Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Ir Rosli Othman setelah meluangkan masa kira-kira satu jam meninjau kerja membaiki di stadium tersebut, kelmarin, mampu menghapuskan keraguan ramai pihak terhadap status sebenar SSMZA.

Stadium selamat digunakan

Menurut Rosli, kerajaan negeri terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan mengeluarkan belanja sebanyak RM14.7 juta untuk membaiki tempat duduk di bahagian timur dan barat serta membaiki padang bagi membolehkan dua pasukan bola sepak Terengganu menjalani latihan di situ.

“Kita telah melantik dua kontraktor untuk membaiki tempat duduk di kedua-dua bahagian berkenaan yang telah dimulakan pada Oktober 2012 , di mana status di bahagian tempat duduk barat telah mencapai 99 peratus siap, manakala timur 75 peratus dan kedua-duanya dijangka siap sepenuhnya Mei tahun ini.

Sinar Harian semalam menyiarkan kerja baik pulih bahagian tempat duduk dan padang rumput giat dilakukan sebagaimana yang dicadangkan ia untuk kegunaan latihan bagi dua pasukan bola sepak iaitu Terengganu dan T-Team, manakala kemudahan lain masih lagi dalam perancangan fasa seterusnya.

Beliau berkata, kajian dan perbincangan secara khusus untuk mencari kaedah terbaik membaik pulih stadium berkenaan perlu dilakukan secara teliti memandangkan tiada peruntukan khusus untuk tujuan itu.

Stadium tanpa bumbung

“Berkait dengan penggunaan bumbung atau rekaan bumbung untuk stadium ini kita masih belum putuskan kerana kita perlu mendapat pandangan ramai pihak memandangkan ia memerlukan belanja yang besar.

“Jadi, buat masa ini, stadium akan digunakan tanpa bumbung dan kita harap semua pihak tidak lagi ragu dengan status keselamatan di sini kerana kajian serta analisis telah dilakukan oleh pakar forensik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ia terbukti selamat untuk digunakan,” katanya.

Dianggarkan kira-kira RM100 juta diperlukan untuk membaiki keseluruhan kemudahan di stadium berkenaan termasuk pusat boling, skuasy, bilik persalinan dan lain-lain kemudahan.

Justeru, dengan penjelasan yang diberikan itu, diharap mampu menutup sebarang keraguan mengenai status stadium berkenaan dan diharap kemudahan yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan rakyat di negeri mampu memberi manfaat kepada semua pihak.

– SINAR HARIAN

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");