Perak Hari Ini

15 Hari Tempoh Peneroka Haram Kosongkan Tanah MB Inc

PERAKTODAY3

Menteri Besar Incorporated (MB Inc) memberi tempoh selama 15 hari kepada 30 peneroka haram untuk mengosongkan tapak pembangunan Kinta Lake District, dekat Tronoh atau berhadapan tindakan undang-undang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aminudin Hashim, tempoh 15 hari untuk mengosongkan tapak projek tersebut bermula hari ini.

Katanya lagi, tempoh masa dan empat notis pengosongkan kawasan juga telah dikeluarkan oleh pihaknya sejak hujung tahun lepas kepada pihak terbabit.

“MB Inc merupakan pemilik sah tanah yang berkeluasan 587.6 hektar sepanjang lebuh raya Lumut Ipoh tersebut dan kita telah mendapat hak milik tanah pada 17 Julai 2012 lagi,” katanya.

Jelasnya lagi, MB Inc telah dipertanggungjawabkan untuk membangunkan tanah tersebut yang bakal membawa kebaikan maksimum kepada seluruh masyarakat Perak dalam tempoh masa 15 akan datang.

“Kita sedar tanah ini begitu strategik serta mempunyai potensi yang hebat jika dibangunkan kelak,” katanya.

Jelasnya, pembangunan tersebut bakal meliputi pembangunan sektor pelancongan, pendidikan dan juga berkeupayaan menarik lebih 500,000 pelancong setiap tahun untuk berkunjung ke kawasan pembangunan Kinta Lake District  tersebut.

“Kita telah memperolehi kebenaran merancang untuk membangunkan tanah ini daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu sidang media di Ipoh hari ini.

PERAKTODAY2

Katanya lagi, keengganan 30 peneroka tersebut mengosongkan kawasan pembangunan itu menyebabkan kelewatan projek tersebut dijalankan lantas mengakibatkan kerugian billion ringgit oleh pihak pemaju.

“Tanah tersebut sekarang telah digunakan oleh 30 peneroka ladang yang sama sekali tidak diberi kebenaran menjalankan perniagaan di sana,”katanya.

Jelas Aminudin  lagi, kaedah berhemah dan tempoh masa setahun telah diberikan MB Inc kepada pihak peneroka terbabit untuk mereka mengosongkan tapak projek berkenaan tetapi sehingga ke hari ini mereka masih enggan berbuat demikian.

“Jangan kerana 30 orang yang enggan keluar daripada kawasan ini, akan menyebabkan peluang kepada beribu-ribu orang yang lain untuk merasai pembangunan akan terganggu,” ujarnya lanjut.

Aminudin mengesa agar 30 peneroka terbabit memberikan kerjasama kepada pihaknya untuk meneruskan pembangunan tersebut kerana ianya mampu memberikan kebaikan yang besar kepada semua.

“Kita sudah berikan banyak  masa yang cukup kepada mereka, jika masih enggan pihak kami akan mendapatkan kelulusan mahkamah untuk mendapatkan semula hak tanah tersebut,” tegasnya.

Mengulas mengenai penglibatan pihak ketiga berkenaan kelulusan tanah tersebut, ujarnya MB Inc sama sekali tidak terlibat dengan urusan terbabit dan menasihatkan pihak peneroka terbabit untuk menyelesaikannya dengan pihak berkenaan.

“Tanah ini sah hak milik sepenuhnya MB Inc dan sebarang pembangunan di kawasan tersebut tanpa kebenaran pihak kami  adalah salah,” katanya.

Beliau turut menegaskan agar pihak yang terbabit menghormati undang-undang yang telah ditetapkan dan secara langsung turut menghormati pemilik tanah berkenaan.

“Kita telah mengalami kerugian kerana tanah tersebut telah dihalang untuk dibangunkan, empar notis telah dikeluarkan bermula November tahun lepas sehingga Febuari tahun ini dan tolong kosongkan tanah tersebut dalam tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.

Katanya, pembangunan tersebut adalah khusus untuk rakyat Perak bagi memiliki rumah mampu milik yang turut dilengkapi dengan kualiti persekitaran yang terbaik kelak.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");