Jenayah

MAS tumpu bantu keluarga

ahmad jauhari yahya

KUALA LUMPUR – Ketika Penerbangan Malaysia aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370nya yang hilang sejak pagi Sabtu lepas, ia turut memberikan fokus utama kepada menjaga kebajikan keluarga yang terlibat.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS, Ahmad Jauhari Yahya berkata, MAS kini memastikan ia menyediakan kaum keluarga yang terlibat itu maklumat dari semasa ke semasa, kemudahan perjalanan, penempatan, perubatan dan sokongan emosi.

Semua kos perbelanjaan ditanggung oleh MAS termasuk bantuan awal kewangan yang diberikan kepada keluarga terbabit untuk keperluan asas mereka, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah mengesahkan bahawa pasukan mencari dan menyelamat kini mendapat sokongan dan bantuan dari Australia, China, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina dan Amerika Syarikat.

“Kami amat berterima kasih dengan usaha ini yang diterima sejak kita terputus hubungan dengan pesawat penerbangan MH370 lebih 48 jam lalu,” katanya.

“Sekurang-kurangnya seorang penjaga kebajikan ditugaskan membantu satu keluarga. Penjaga kebajikan itu merupakan kakitangan terlatih dan sukarelawan Malaysia serta beberapa pertubuhan lain,” kata Ahmad Jauhari.

Buat masa ini lebih 150 anggota ‘Go Team’ yang terdiri daripada kakitangan pengurusan kanan dan penjaga kebajikan berada di Beijing untuk membantu keluarga penumpang pesawat MH370 di sana sementara di Kuala Lumpur, kumpulan penjaga kebajikan lain membantu keperluan keluarga penumpang di sini.

“Keluarga dari negara lain selain China telah tiba di Kuala Lumpur sejak awal semalam. Lebih ramai lagi dijangka tiba hari ini. MAS sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan China untuk mempercepat pengeluaran pasport bagi keluarga ini serta dengan Jabatan Imigresen untuk pengeluaran visa masuk ke Malaysia,” kata Ahmad Jauhari.

Beliau berkata sebuah pusat penyelarasan respons akan diaktifkan dalam kawasan sekitar untuk membantu keperluan keluarga terbabit di lokasi pesawat MH370 bila ditemui.

Pesawat MAS MH370 yang membawa 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing dilaporkan terputus hubungan pada pagi Sabtu, kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang. Ia sepatutnya dijadual mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi.

Sejak insiden mengejutkan itu, masyarakat dunia menghulurkan simpati, keprihatinan dan doa mereka kepada semua yang terlibat melalui media, laman sosial, blog dan sebagainya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");