Berita Hari Ini

Melaka laksana sistem kehadiran penjawat awam

idris

MELAKA – Pelaksanaan ‘Punctuality Cascading Reporting System’, yang melapor kelewatan kehadiran penjawat awam secara terus kepada ketua jabatan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau e-mel, akan dilaksanakan di Melaka berkuat kuasa 1 April depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata pelaksanaan fasa pertama membabitkan jabatan di dalam Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, yang merupakan pusat pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau berkata sebanyak 20 alat imbasan cap jari dan kad perakam waktu sedia ada di kompleks berkenaan telah ditambah baik dengan sistem dibangun Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat Jabatan Ketua Menteri yang berupaya menghantar maklumat kelewatan kehadiran penjawat awam kepada ketua jabatan masing-masing.

“Sistem ini kemudiannya akan dilaksanakan di anak syarikat kerajaan negeri dan kita juga bersedia memberi khidmat kepada mana-mana syarikat swasta yang inginkan pemasangan sistem ini,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan kerajaan negeri Melaka di sini, hari ini.

Katanya langkah itu bertujuan membentuk budaya ketepatan masa dalam kalangan penjawat awam di negeri itu supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

Idris berkata penjawat awam yang lewat hadir ke tempat kerja sebanyak tiga kali dalam tempoh sebulan akan menerima surat tindakan tatatertib secara automatik melalui e-mel.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");