Berita Hari Ini

Tapis penganjuran konsert, cegah aktiviti liar

jamil khirMELAKA – Konsert dianjurkan di negara ini perlu ditapis secara menyeluruh termasuk daripada aspek agama bagi mencegah kegiatan liar pada acara itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Katanya, tragedi enam penonton maut dipercayai akibat pengambilan dadah pada konsert di ibu negara Sabtu lepas perlu dijadikan pengajaran supaya perkara seperti itu tidak berulang dalam konsert dianjurkan di negara ini pada masa depan.

Penganjur konsert dinasihatkan mendapatkan pandangan daripada pelbagai agensi termasuk pihak agama sebelum menganjurkan konsert bagi memastikan ia tidak memberi kesan tidak baik, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Multaqa Pegawai Syarak, Guru Agama dan Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Melaka 2014 di Masjid Al-Azim di sini hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Pada majlis itu, peruntukan RM18.72 juta daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disampaikan kepada kerajaan negeri Melaka bagi membayar elaun imam, guru takmir, guru Kafa dan penyelaras masjid daerah bagi tahun ini.

Enam maut manakala 14 individu kini dirawat di hospital dipercayai akibat pengambilan dadah ketika menghadiri konsert Festival Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil di ibu negara manakala polis menahan 29 individu pelbagai warga yang disyaki terlibat dalam kegiatan dadah di konsert berkenaan.

Jamil Khir berkata, Jakim memperuntukkan RM875 juta untuk pembayaran elaun imam, guru takmir, guru Kafa dan penyelaras masjid daerah di seluruh negara tahun ini.

“Jumlah peruntukan berbeza mengikut bilangan penerima setiap negeri dan kita tambah peruntukan ini kira-kira 10 peratus setiap tahun kerana pertambahan penerima…kita harap semua penerima ini dapat menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai penegak syiar Islam di negara ini,” katanya.

Mengenai usaha mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas, Jamil Khir menasihatkan rakyat negara ini menggunakan cara yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Kita menggalakkan semua rakyat Malaysia beragama Islam mengadakan lebih banyak solat hajat…tentang ritual (oleh bomoh) di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa KL) kita telah bekerjasama dengan Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) bagi mengambil tindakan, kita tunggu tindakan nanti,” katanya. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");