Berita Hari Ini

37,000 sudah mohon skim MyHome

abdul rahman dahlan

PUTRAJAYA – Sebanyak 37,000 permohonan diterima untuk Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome), yang memberikan insentif bantuan kewangan RM30,000 kepada yang layak, sejak dilancarkan 1 April lepas.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun kementerian menetapkan kuota 10,000 pemohon sahaja diterima tahun ini, kementerian akan memastikan baki 27,000 pemohon akan berjaya untuk Skim MyHome tahun depan.

Beliau berkata setakat ini, lima syarikat pemaju perumahan mengemukakan permohonan rasmi kepada Jabatan Perumahan Negara untuk pembinaan 2,580 unit rumah di seluruh negara, yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sebanyak 49 syarikat pemaju perumahan lain turut memohon kepada Jabatan Perumahan Negara untuk menyertai skim berkenaan.

“Kementerian masih meneliti permohonan mereka bagi memastikan mereka tidak disenarai hitam sebagai syarikat pemaju perumahan yang bermasalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Skim MyHome diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2014 pada Oktober tahun lepas, yang merupakan projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Jan 2014 dengan peruntukan RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam pada itu, mengenai bantahan Persatuan Denai Kuala Lumpur dan Selangor (Traks) terhadap Jabatan Landskap Negara (JLN) ekoran beberapa tindakan ke atas Taman Bukit Kiara, beliau berkata ia harus dilakukan demi keselamatan orang ramai.

“Antara tindakan JLN seperti memasang pagar di sekelilingnya untuk menghalang pemburu haram, penceroboh memasuki kawasan berkenaan dan membaik pulih cerun-cerun yang berbahaya di dalam kawasan rekreasi itu,” katanya.

Abdul Rahman mengulas bantahan Traks baru-baru ini terhadap kerja-kerja yang dijalankan JLN di taman itu yang mendakwa ia memberi kesan kepada habitat flora dan fauna di situ. – Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");