Sukan Hari Ini

Masters milik Zulmazran, Li Jane

KEJOHANAN BOLING KEBANGSAAN KE-38

DUA pemain elit negara – Zulmazran Zulkifli dan Sin Li Jane mempamerkan balingan cemerlang untuk muncul juara kategori Masters lelaki dan wanita pada Kejohanan Boling Kebangsaan ke-38 di Sunway Megalanes, Petaling Jaya, Selangor semalam.

Zulmazran yang layak secara automatik ke final selepas muncul peserta terbaik dalam pusingan awal step ladder pada sesi pagi, diberikan tentangan sengit oleh pemain pelapis negara, Isaac Russell Paul sebelum menang tipis dengan kiraan 224 berbalas 223 jatuhan pin.

Terdahulu, Isaac mara ke final selepas melakar kejutan ke atas seorang lagi pemain elit negara, Timmy Tan dengan kiraan 247 berbalas 176 jatuhan pin dalam saingan separuh akhir step ladder.

Zulmazran yang pernah meraih kejuaraan sama pada edisi 2001, mengakui lawannya memberikan aksi terbaik sehingga memaksa dia mengerah segala pengalaman yang dimilikinya.

“Saya sudah menjangkakan akan bertemu Isaac pada aksi final memandangkan dia beraksi cemerlang ketika menentang Timmy kerana jumlah balingannya mesti mencecah 200 jatuhan pin ke atas.

“Alhamdulillah, saya dapat bertahan walaupun membuat balingan yang salah pada beberapa balingan awal, sebelum kembali bangkit pada penghujung permainan,” kata anak jati Selangor itu.

Terdahulu, dalam aksi final Masters wanita, Li Jane mengalahkan rakan sepelatih, Esther Cheah dengan catatan 213 berbalas 208 jatuhan pin.

Kejayaan itu sekali gus memastikan gelaran ketiga yang dirangkul Li Jane selepas meraih kejuaraan sama pada edisi 2010 dan 2012.

Esther sebelum itu mara ke final selepas menang 218 berbalas 201 jatuhan pin ke atas Dayang Khairuniza Dhiyana Abang Jamalidon dalam aksi separuh akhir step ladder.

“Saya berharap kemenangan ini akan memberi motivasi kepada saya untuk beraksi cemerlang dalam beberapa kejohanan selepas ini seperti Terbuka Malaysia bulan depan dan Terbuka Singapura pada Jun,” kata Li Jane yang turut mengintai slot ke Sukan Asia di Korea Selatan, September depan.

Kemenangan tersebut membolehkan Zulmazran dan Li Jane masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM3,000 serta trofi yang disampaikan oleh Presiden Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Datuk Dr. PS Nathan.

-Kosmo
Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");