Perak Hari Ini

Perak Usul Cadangan Wujudkan Wilayah Pembangunan Baru Di Kawasan Selatan

PERAKTODAY12

Kerajaan Perak akan mengusulkan cadangan kepada kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan satu wilayah pembangunan baru di bahagian selatan negeri tersebut.

“Kerajaan negeri akan mengemukakan satu cadangan kepada pihak Kerajaan Persekutuan agar sebuah wilayah pembangunan yang baru dapat diwujudkan di selatan Perak,” katanya pada sidang media di Ipoh, hari ini.

Ujarnya lagi, pembangunan yang diberi nama Wilayah Pembangunan Selatan Perak tersebut diharap dapat dibangunkan menggunakan model pembangunan koridor sedia ada atau Iskandar Malaysia di Johor Baharu.

Menurut beliau lagi, wilayah itu akan dibangunkan dengan kerjasama daripada beberapa pihak.

“Wilayah ini akan dapat diwujudkan di negeri Perak dengan kerjasama daripada kerajaan Persekutuan dan khususnya pihak Khazanah Nasional,” katanya lagi.

Beliau turut menyatakan bahawa pembangunan yang akan dicadangkan tersebut penting disebabkan faktor pembangunan di penempatan dan lokasi selatan Perak itu sendiri.

“Satu pembangunan wilayah yang baru ini penting memandangkan kedudukan kawasan tersebut tidak dimasukkan dalam mana-mana wilayah pembangunan atau koridor pembangunan,” katanya.

Tambahnya, wilayah pembangunan ini akan meliputi beberapa kawasan yang terdapat di Perak.

“Wilayah ini mencakupi kawasan bermula dari sempadan antara Perak dan Selangor hingga membawa ke kawasan Hilir Perak,” katanya lagi.

Zambry juga mengharapkan agar pembangunan ini membawa impak positif kepada pembangunan negeri Perak.

“Dari segi pembangunan keseluruhan kawasan ini, kita mengharapkan ianya akan membawa pembangunan yang lebih menyeluruh di negeri Perak,” ujarnya lagi.

Kerajaan negeri juga jelasnya, berharap agar pembangunan daripada segi kemudahan insfrastruktur dapat disediakan oleh kerajaan Persekutuan.

“Selain itu, pembangunan dari segi kemudahan infrastruktur juga perlu disediakan dan salah satu pembangunan yang nyata ialah keputusan kerajaan untuk membina Lebuhraya Pantai Barat yang tentunya akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan berkenaan,” katanya.

Wilayah pembangunan tersebut akan mengambil kira faktor keupayaan daerah itu untuk membangun secara terancang atau organik iaitu kekuatan yang terdapat di setiap daerah samada dalam sektor automotif atau sektor pembangunan pendidikan.

Selain itu, sektor pelabuhan juga akan dibangunkan di Hilir Perak dan ia merangkumi industri berasaskan keluli hasil daripada limpahan industri kuari di Daerah Manjung.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");