Membawang Hari Ini

Raih urus niaga RM3.6 juta

MoU 1

Sekian lama menerbitkan drama tempatan, MIPTV 2014 membuka langkah baru buat Global Station Sdn Bhd (GSSB) dan Astro ke pentas global berikutan termeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meraih urus niaga dianggarkan bernilai RM3.6 juta dengan Azteca.

Urus niaga membabitkan tiga pihak antara Astro selaku penyiar, Azteca dan GSSB sendiri bagi membolehkan syarikat produksi itu diberi hak mengadaptasi format siri telenovela Siempre Tuya Acapulco (A Love To Remember) sebanyak 120 episod setahun dalam tempoh tiga tahun, di mana setahun telenovela itu membabitkan urus niaga kira-kira RM1.2 juta.

Majlis menandatangani MoU antara pihak GBSB, Astro dan Azteca dilakukan di pavilion Mexico sempena MIPTV 2014 di Palais De Festival, Cannes, Perancis ini disaksikan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Datuk Md Afendi Datuk Hamdan.

GSSB diwakili penerbitnya, Datin Zaiton Mohd Jiwa; Astro pula Naib Presiden Content Management Group Astro, Agnes Rozario; Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro; Khairul Anwar Salleh dan Naib Presiden Permasaran Antarabangsa Azteca, Marcel Vinay.

Dalam sidang media di pavilion Malaysia, Zaiton berkata, peluang yang diberikan itu amat bermakna dalam usaha menyahut seruan kerajaan yang begitu serius memberi komitmen di MIPTV dan MIPCOM bagi memasarkan produk tempatan.

Menurutnya, untuk siri pengenalan telenovela itu akan diperkenalkan ketika MIPCOM berlangsung Oktober nanti.

“Pada dasarnya kami sudah bersedia, skrip juga sudah ada cuma tinggal untuk mengalihkan bahasa bagi disesuaikan dengan budaya masyarakat di negara kita. Sekalipun kita sedar drama Korea mendapat sambutan kini, tetapi siri telenovela dari negara Latin ‘rating’nya tetap tinggi.

“Justeru, pihak Astro mencadangkan mengapa tidak mencari satu format baru untuk dihasilkan dan bagi pihak saya ia tiada masalah kerana kami pernah menghasilkan siri sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar berkata, pihaknya sudah bersedia dari segi teknologi bagi menghasilkan drama dalam definasi tinggi berdasarkan sepanjang dua tahun lalu, pihaknya sudah mempunyai kemahiran itu untuk merealisasikan telenovela itu nanti.

“Pihak Azteca pula apabila kami tunjukan siri Adam dan Hawa, mereka rasa produk kami mempunyai potensi ke luar negara. Mereka yakin dengan keyakinan itu, lalu kami cari satu projek yang membolehkan kami kembali bekerjasama,” katanya.

Menurut Khairul, cara terbaik untuk produk tempatan ke luar negara melalui jaringan koloborasi seperti dengan Azteca yang mempunyai 60 platform melalui Comarex selaku pengedaran di Eropah, Afrika, Asia dan negara Latin.

“Untuk pasaran antarabangsa seperti dimaklumkan Azteca dan Comarex, ada kriteria tertentu umpama pelakon harus kelihatan menawan. Saya gembira melalui bakat tempatan yang kami tunjukkan pada mereka ternyata mereka berpuas hati dan jelas pelakon kita amat sesuai dengan watak dalam A Love To Remember itu.

“Objektif kita bukan kita tentukan, sebaliknya kita perlukan ‘feedback’ supaya produk yang dihasilkan tidak syok sendiri. Untuk musim pertama sebanyak 120 episod dalam tempoh setahun dengan durasinya sejam setiap episod. Musim kedua dan ketiga jumlah episod dan durasinya tetap sama, tetapi perbezaannya adalah dari segi judul,” katanya.

Bagi Marcel Vinay, kerjasama yang dijalinkan dengan pihak Malaysia khususnya Astro dan GSSB bukan baru jika mengambil kira programnya La Acedemia Azteca yang mencetuskan fenomena di stesen Astro dengan judul Akademi Fantasia.

“Kerjasama yang terjalin di antara kami lebih 15 tahun termasuk channel Astro Bella, sementara pihak GSSB pula pernah mengadaptasi beberapa format siri telenovela kami sebelum ini (Spa Q dan Dilema Wanita),” katanya.

Sementara itu Md Afendi berkata, MoU yang dimeterai antara GSSB, Astro dan Azteca adalah detik yang dinanti dan cukup bermakna untuk penggiat industri perfileman tanah air pada ketika negara bakal menjadi hos untuk MIPTV pada 2016.

“Kita mengalu-alukan MoU begini kerana bayangkan pada ketika kita menjadi hos pada 2016 jika kita tiada sesuatu mahu ditunjukkan kepada dunia mengenai produk kita yang sudah mencecah antarabangsa, kita sekadar jaguh kampung saja.

“Di FINAS, kita rangka strategi jika mahu memberi geran, kriteria akan diberi pada kandungan yang ada potensi untuk dipasarkan di dunia. Tidak bermakna geran RM2 juta atau RM3 juta yang diberi FINAS, tetapi tidak berkembang. Kita mahu duit yang kita keluarkan sebagai geran itu mempunyai ‘value for money’,” katanya.

Menurut Afendi, peluang diberi Azteca pada Astro dan GSSB itu boleh dijadikan pembakar semangat kepada produser tempatan untuk mereka berani bersaing, sekali gus mencari peluang memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

-METRO

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");