Membawang Hari Ini

Schwarzenegger kembali! Usia bukan penghalang

arnold

NAMA Arnold Schwarzenegger sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Biarpun sudah dikategorikan sebagai pelakon veteran namun Scwarzenegger membuktikan usia 66 tahun hanya sekadar angka.

Kembali beraksi dalam sebuah filem thriller, Sabotage, Schwarzenegger yang memegang watak sebagai seorang pegawai Drug Enforcement Administration (DEA) yang membalas dendam terhadap kematian isterinya.

Biarpun tidak memaparkan susuk tubuhnya di dalam filem ini, namun bintang ini masih kelihatan tegap dan gagah, hanya wajahnya sahaja yang sudah nampak di mamah usia.

Pastinya kemunculannya ini bakal menarik ramai peminat untuk menyaksikan filem arahan David Ayer dan turut menampilkan Sam Worthington sebagai James Murray; Max Martini (Tom Roberts); Terrence Howard (Julius Edmonds); Joe Manganiello (Joe Phillips); dan Kevin Vance (Bryce McNelly).

‘Sabotage’ yang diinspirasikan daripada novel 1939, And Then There Were None, oleh Agatha Christie, mengisahkan mengenai sekumpulan penyiasat rahsia dituduh mencuri wang tunai berjumlah RM300 juta (USD100 juta) daripada sekumpulan penjahat yang diberkas oleh pihak berkuasa.

Selain disiasat oleh pihak polis, pelbagai kejadian pelik turut menimpa kumpulan penyiasat itu apabila satu persatu anggotanya mati dibunuh kejam dipercayai dilakukan oleh kumpulan penjahat itu untuk membalas dendam.

Selepas dua anggota penyiasat itu mati dibunuh mereka mula ragu-ragu dengan kejadian tersebut dan mula menyiasat tentang apa yang berlaku sehingga membawa pertelingkahan dalam kalangan ahli kumpulan itu.

Pada masa sama, John terdesak untuk membalas dendam atas kematian isteri dan anak lelakinya dengan apa cara sekali pun sehinggalah dia bertemu dengan seorang pegawai penyiasat polis yang membantunya merungkai semua misteri yang berlaku.

Kecelaruan plot

Biarpun menampilkan pelakon hebat, ia belum cukup menjanjikan Sabotage sebagai sebuah filem yang cukup hebat. Apatah lagi, sepanjang pemerhatian penulis, filem ini mengalami masalah kecelaruan plot pada permulaan dan hampir ke pertengahan jalan cerita hingga membuatkan ada kalanya jalan cerita sukar difahami.

Namun, tatkala misteri mula terungkai satu persatu, baharulah timbul rasa teruja untuk mengetahui siapakah yang menjadi dalang di sebalik pembunuhan anggota penyiasat itu.

Bahkan bagi penulis, kemuncak keterujaan filem ini hanya dirasai pada babak akhir di mana Schwarzenegger berlawan menggunakan senjata api sambil kenderaan bergerak.

Babak extrem

Namun, yang agak menarik di dalam filem ini adalah babak-babak tembak menembak, kelar-mengelar sehingga darah nampak keluar membuak-buak dan ia cukup ‘real’! Bagi anda yang mabuk darah atau tidak boleh melihat momen sebegini maka Sabotage akan menjadi filem paling ngeri yang pernah anda tonton sepanjang hidup anda.

Apatah lagi, kesan darah itu tidak menggunakan kesan khas seperti Imej Janaan Komputer (CGI), sebaliknya kelihatan seolah-olah keluar mengalir dari badan.

Bukan itu sahaja, beberapa twist yang dipaparkan hampir ke penghujung jalan cerita juga cukup menarik itu ditonton dan bagi anda yang tercari-cari sebuah filem yang nampak real dan extrem, jangan lupa untuk menyaksikan Sabotage di pawagam.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");