Membawang Hari Ini

Terokai pasaran filem Vietnam

filem vietnam

Bahaya Cinta dapat pujian di Hanoi selepas pratonton khas

Bukan mudah untuk menjalinkan kerjasama dengan produksi di luar negara, apatah lagi negara seperti Vietnam mengenakan syarat ketat kepada produksi dari luar untuk menjalankan penggambaran di sana, selain masalah komunikasi dan persepsi.

Namun, bagi penerbit filem, Richard Ung, halangan itu harus ditempuh dan berani mencuba bagi produser Malaysia jika mahu memperluaskan pasaran filem dari negara ini ke negara ASEAN lain, khususnya di Vietnam kerana ia berpotensi besar.

“Saya sudah lihat dan kaji, Vietnam sangat sesuai untuk lokasi baharu membawa filem Malaysia menembusi pasaran filem di sana dan mengadakan ruang kerjasama penerbitan. Paling penting, kita kena berani dan bijak mencari dan mewujudkan peluang berniaga berkaitan filem di sana.

Pasaran luas

“Selain itu, kita boleh mengadakan kerjasama dengan syarikat produksi di sana. Pasaran filem di Vietnam cukup berpotensi sebab negara itu ada lebih 60 juta penduduk dan infrastruktur pawagam yang memberangsangkan. Industri filem di sana sedang mendapat perhatian rakyat termasuk menyokong kuat filem dari Hollywood dan
Korea.
“Atas alasan itu, saya berani ambil risiko menjadi syarikat produksi pertama dari Malaysia mengadakan kerjasama menghasilkan filem dengan produksi dari Vietnam. Dangerously Love atau Bahaya Cinta adalah permulaan kerjasama kami. Filem ini sudah siap dan menunggu tayangannya di Malaysia bermula 1 Mei ini.

Maklum balas baik

“Ia akan ditayangkan kepada umum di Vietnam dijangka pada Jun. Minggu lalu, kami sudah adakan pratonton khas di sana, ternyata ia mendapat maklum balas baik daripada pihak yang menontonnya termasuk Duta Malaysia di Vietnam, Datuk Azmil Mohd Zabidi.

Penerbitan Bahaya Cinta membabitkan kerjasama syarikat Richard, Sheunik Sdn Bhd dengan syarikat milik Yusof Kelana dan Serina Redzuawan, dengan Redbridge TV & Film Production dari Hanoi.

Ia menjalani penggambaran di negara itu pada Jun tahun lalu, selain lokasi di negara ini membabitkan sekitar Terengganu. Bahaya Cinta yang diklasifikasi PG13 menampilkan pelakon dari Malaysia termasuk Adam AF, Datuk Jalaludin Hassan, Fadilah Mansor dan Man Raja Lawak.

Pelakon Vietnam pula membabitkan Luong Giang, Nguyen Duc Hung dan Ha Dan, selain pelakon sinetron dari Indonesia, Dewi Amanda. Skrip filem itu ditulis Martias Mohd Ali.

Yusof turut bertindak sebagai pengarah untuk projek filem itu yang bakal ditayangkan menerusi 60 pawagam di Malaysia.

Richard menjelaskan, pihaknya mula berani untuk bekerjasama dengan pihak dari Vietnam selepas beliau mengikuti rombongan FINAS ke pasar filem antarabangsa di Hanoi, tahun lalu.

“Ketika itu, saya menjadi Ahli Lembaga Pengarah FINAS, jadi saya kena buktikan pemergian kami ke pasar filem itu harus dibuktikan dengan peluang pelaburan. Kita kena tunjukkan keyakinan bahawa produksi dari negara kita mempunyai perancangan dan pengurusan yang rapi, jadi ia meyakinkan pihak produksi Vietnam untuk bekerjasama.

“Saya gembira kerana maklum balas baik ketika pratonton khas filem Bahaya Cinta di Hanoi baru-baru ini

Jadi perintis

Ia mendapat pujian, termasuk daripada duta kita di sana. Malah, pihak produksi dari Vietnam yang bekerjasama dengan kita juga gembira dan sudah pun memberi persetujuan secara lisan untuk bekerjasama bagi satu lagi filem akan datang.

“Ini perkembangan yang cukup baik. Saya harap, pihak kami menjadi perintis kerjasama yang memberangsangkan untuk industri filem dari Malaysia ke sana,” kata Richard yang sudah lebih 20 tahun berpengalaman dalam industri penyiaran terutama penerbitan program dan drama televisyen.

Sedia sari kata

Judul Bahaya Cinta akan digunakan di negara ini, manakala di Vietnam akan menggunakan Dangerously Love dan ‘Tinh yeu nguy hiem’ dalam bahasa Vietnam. Filem berkenaan turut menyediakan sari kata yang boleh difahami penonton di Malaysia dan Vietnam.

Bahaya Cinta mengisahkan seorang wanita Vietnam mengimbas kembali detik cemas ketika melarikan diri ke Malaysia dan tinggal di kem penempatan pelarian di Pulau Bidong, Terengganu. Beliau mengharungi hidup selepas berkahwin dengan rakyat tempatan yang juga seorang nelayan Melayu. Wanita itu meminta anak lelakinya mencari seseorang untuk menyampaikan suatu pemberian nostalgia sebelum melarikan diri ke Malaysia kira-kira 35 tahun lalu. Semasa di Hanoi, anaknya, Iskandar mengalami pelbagai cabaran dan dugaan. Pada masa sama beliau bertemu cinta dengan seorang gadis Vietnam.

-Berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");