Membawang Hari Ini

Selepas enam tahun

artis maya karin

Lama tidak beraksi di atas pentas, penyanyi dan pelakon Maya Karin akui gementar saat menghiburkan penonton pada majlis pelancaran albumnya berjudul Teka Teki, baru-baru ini.

Meskipun kerap melakukan latihan dan dua kali pelancaran ini ditangguhkan berikutan menghormati perasaan keluarga mangsa tragedi MH370, penyanyi berusia 35 tahun ini berkata, perasaan itu masih tidak dapat dikawal.

Malah apa yang dilaluinya pada malam itu mengingatkannya keadaan yang sama dialami ketika di awal kemunculan sebagai penyanyi.

“Saya gementar kerana sudah lama tidak beraksi di pentas. Apabila melalui kejadian ini saya teringat di awal kemunculan saya mengalami keadaan yang sama. Ini kerana, orang terlalu meletakkan harapan yang tinggi supaya saya boleh menyanyi sehingga saya merasa bukan hanya gementar malah
tertekan.

“Semua ini saya rasakan kerana takut dan bimbang tidak mampu memuaskan hati semua orang sehingga saya pernah merasa tidak mahu menyanyi lagi. Namun, lama kelamaan perasaan itu perlahan-lahan hilang apabila saya kerap menyanyi di khalayak ramai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, mungkin dia akan lebih selesa apabila berpeluang menyanyikan lagu jazz. Namun, akur pasaran kini sukar menerima muzik berkenaan menyebabkan dia harus fokus dengan muzik yang menjadi permintaan.

Maya kembali dengan album ketiganya selepas lebih enam tahun tidak muncul dengan sebarang album berikutan mula memberi fokus terhadap bidang
lakonan.

Pada malam berkenaan dia turut menyanyikan beberapa lagu dari album berjudul Teka Teki itu antaranya Bintang Syurga, Tersenyum, Hanya Sebentar dan Teka Teki serta lagu yang menjadi kegemarannya, Skyfall nyanyian asal Adele.

Di samping itu, Maya turut menerima plak daripada Pe­ngarah Urusan Warner Music Malaysia & Singapura, Darren Choy.

Berkongsi me­ngenai kemunculan album ini di samping single Teka Teki, Maya berkata, dia sengaja mahukan kelainan daripada muzik lagu Erti Cinta walaupun sedar ramai peminat mahukan dia membawakan lagu seperti itu.

“Saya tahu peminat lebih kenal saya dengan lagu Erti Cinta, tetapi saya sukakan sesuatu yang baru dan apa salahnya saya mencuba yang lain dan saya berpuas hati dengan lagu Teka Teki yang mana saya yakin peminat juga mahukan muzik yang lebih santai dan tenang.

“Hampir dua bulan album ini berada di pasaran, saya gembira dengan sambutan yang diterima walaupun masih ada segelintir peminat tidak tahu kehadiran album ini. Oleh itu, saya turut membantu melakukan promosi di Instagram milik saya.

“Paling menggembirakan apabila lagu Teka Teki turut menjadi juara di carta radio Suria fm. Satu per­kembangan yang baik dan saya akan terus berusaha mempromosikan lagu-lagu di dalam album ini,” katanya.

Sedang menunggu tiga lagi filem lakonannya untuk ditayangkan kepada penonton antaranya Lagenda Budak Setan 3, Nota dan Jwanita, Maya kini mahu memberi fokus terhadap promosi album ini.

“Sudah lama saya menunggu untuk kembali de­ngan album baru. Syukur ia direalisasikan oleh Warner Music Malaysia. Apabila sudah berpeluang, saya mahu memberi fokus terhadap album yang memuatkan tujuh lagu ini.

“Bagi mendekatkan lagi album ini dengan peminat saya dan syarikat rakaman sedang merancang untuk mengadakan jelajah seluruh Malaysia. Oleh itu, sepanjang tahun ini saya akan memberi fokus terhadap album Teka Teki.

“Lagipun, sudah tiga filem saya siap dan hanya menunggu untuk ditayangkan, jadi rasanya biarlah saya fokus dulu terhadap album ini dan jika semuanya berjalan lancar saya mempunyai dua lagi album untuk dihasilkan bersama Warner,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");