Jenayah

Tak sangka adik maut

maut 1

PETALING JAYA – Seorang wanita tidak menyangka bunyi kren jatuh dari tingkat 11 sebuah bangunan di tapak pembinaan di Ara Damansara dekat sini pagi semalam mengorbankan adiknya Mohd Hafadz Sanip, 26, yang merupakan pemandu jentera berat berkenaan.

Mangsa yang cedera parah maut serta merta akibat tersepit dalam kren yang patah selepas terjatuh pada ketinggian 54 meter dari aras tanah.

Kakak mangsa, Azita Sanip, 39, berkata, semasa kejadian, dia berada di rumahnya di PPR Lembah Subang yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Saya berlari ke luar rumah sebaik mendengar bunyi benda jatuh yang kuat, jiran-jiran lain juga terkejut,” katanya ditemui di perkarangan bilik mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Kata Azita, lebih kurang 30 minit kemudian, rakan sekerja Hafadz datang ke rumah memberitahu apa yang berlaku.

“Tubuh saya longlai, lidah kelu selepas terima khabar adik saya maut dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya lagi, perangai pelik arwah memohon maaf kepada adik beradiknya beberapa hari yang lalu rupa-rupanya petanda dia akan pergi menghadap Ilahi.

“Hafadz juga ada mengirimkan sms kepada seorang rakan rapatnya menyatakan dia rindukan arwah ibu bapanya serta sayangkan rakannya,” katanya.

Difahamkan jenazah arwah dibedah siasat dan dikebumikan di kampung halamannya di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, semalam.

Sementara itu, seorang pekerja warga Pakistan dikenali sebagai Ali, 34, berkata, beliau berada di tingkat bawah tanah ketika kejadian berlaku dan hanya menyedari selepas mendengar jeritan orang ramai.

“Saya dengar ramai orang jerit supaya lari dan keadaan menjadi kecoh sebelum melihat kren jatuh ke tanah,” katanya yang baru tiga bulan bekerja di situ.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba Zon Petaling, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Zaikunor Afendi Muhammad Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 9.01 pagi dan bomba tiba di tempat kejadian 14 minit kemudian

Menurutnya, seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai daripada balai bomba dan penyelamat Seksyen 7 terlibat dalam operasi terbabit.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");