Sukan Hari Ini

Tolak andaian Chong Wei terlalu yakin

chong wei 3

JURULATIH perseorangan negara, Tey Seu Bock menolak andaian sesetengah pihak yang menganggap faktor terlalu yakin untuk menang menjadi punca kekalahan mengejut Datuk Lee Chong Wei kepada pemain Indonesia, Simon Santoso dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, kelmarin.

Sebaliknya Seu Bock berkata, Chong Wei terlalu banyak lakukan kesilapan dan kurang fokus serta pujian harus diberikan kepada pemain Indonesia tersebut kerana mempamerkan aksi cemerlang untuk menumpaskan Chong Wei.

“Kami memang menjangkakan Simon akan bermain dengan baik semalam (kelmarin), malah Chong Wei melakukan banyak kesilapan untuk membolehkan lawan mengutip mata,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Chong Wei gagal meneruskan sentuhan juaranya apabila tewas mudah di tangan Simon Santoso 15-21, 10-21 dalam masa 47 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Jaguh perseorangan negara itu yang sebelum ini gah menjuarai Siri Super Premier Terbuka Malaysia (Januari), Seluruh England (Mac) dan Siri Super Terbuka India minggu lalu, terpaksa akur dengan permainan pantas Simon bagi memusnahkan hasrat Chong Wei untuk meraih kejuaraan keempat musim ini.

Bagaimanapun menurut Seu Bock, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan kekalahan itu sebaliknya menegaskan fokus utama Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia tetap untuk melakar kejayaan dalam kejohanan utama tahun ini – Piala Thomas di New Delhi, India (18-25 Mei), Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland (21 Julai-4 Ogos), Kejohanan Dunia BWF di Copenhagen, Denmark (25-31 Ogos) dan Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan (28 September- 5 Oktober).

“Kekalahan ini sesuatu yang biasa lagipun Chong Wei tewas kepada pemain yang beraksi lebih baik daripadanya semalam (kelmarin).

“Kita kena terima kenyataan yang usianya semakin meningkat dan sukar untuk dia kekalkan tahap kecergasan fizikalnya, layak ke final sudah kira pencapaian yang membanggakan.

“Berilah Chong Wei ruang kerana fokus dia adalah kejohanan-kejohanan utama tahun ini dan jangan beri dia tekanan. Sekarang kita sedang cari formula terbaik bagaimana meningkatkan prestasi pemain lain bagi menggantikan tempatnya,” katanya.

Jelasnya, tidak ada apa yang berlaku terhadap juara All England 2014 itu dan selepas ini dia akan pulang ke tanah air membuat persiapan menjelang Piala Thomas di New Delhi, India yang berlangsung bulan depan.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");