Jenayah

3 penjenayah tersungkur

jenayah 3

Hulu Selangor: Tiga penjenayah berbahaya tersungkur cedera ditembak polis sejurus suspek cuba merempuh anggota kereta peronda polis dalam usaha melarikan diri dari diberkas petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, suspek dihujani tembakan dilepaskan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di kawasan deretan kedai di Taman Desa Anggerik, Serendah di sini.

Sumber polis berkata, kejadian berlaku sejurus anggota polis terbabit terserempak sebuah kereta model Proton Saga BLM berwarna coklat dalam keadaan mencurigakan dinaiki tiga lelaki.

“Polis kemudian mengekori kereta suspek sehingga ke kawasan deretan kedai sebelum mengarahkan mereka memberhentikan kenderaan.

“Bagaimanapun ketika anggota polis keluar dari kenderaan untuk membuat pemeriksaan, suspek tiba-tiba cuba merempuh anggota polis terbabit,” katanya.

Sumber berkata, polis kemudian melepaskan beberapa das tembakan sebelum memberkas suspek tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Hasil pemeriksaan mendapati suspek pertama berusia 34 tahun memiliki enam rekod jenayah dan turut dikehendaki polis berhubung kes jenayah di Pontian, Johor.

“Suspek didapati cedera terkena tembakan di bahu kanannya,” katanya.

Menurutnya, suspek kedua berusia 22 tahun pula cedera di bahagian leher dan bahu manakala suspek ketiga berusia 42 tahun cedera di kening sebelah kiri dan kepala akibat terkena hentakan pada kereta,” katanya.

Menurutnya, suspek kedua tidak mempunyai rekod jenayah.

Bagaimanapun, suspek ketiga mempunyai 18 rekod jenayah lampau dan turut dikehendaki polis.

“Pemeriksaan nombor casis kenderaan mendapati kereta itu pernah dilaporkan hilang di Kampung Baru Subang sebelum ini,” katanya.

Susulan itu semua suspek dihantar ke Hospital Selayang, Gombak untuk menerima rawatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");