Membawang Hari Ini

Best 104 FM kini berwajah baharu!

yusry abu samah

MULAI tahun ini, stesen radio swasta di negara ini, Best 104 FM melakukan transformasi bersempena dengan sambutan ulang tahun Jubli Peraknya pada Julai ini.

Best 104 adalah stesen radio swasta yang ditubuhkan pada Julai 1989 atas ilham Almarhum Sultan Johor, Sultan Iskandar, dan dikendalikan oleh Suara Johor Sdn Bhd.

Kini, selepas 25 tahun, Best 104 tampil dengan logo dan jenama baharu, Best FM dengan ‘tagline’ Trend Muzik Gaya Baru agar kelihatan lebih segar dan versatil serta sesuai dengan konsep rancangan yang dikemukakan.

Biarpun melalui penjenamaan semula, Best FM juga bertujuan menarik minat pendengarnya dengan penyiaran lagu pilihan suka ramai, isu-isu semasa, pengumuman dan informasi terkini, program agama, keroncong dan muzik kontemporari.

Begitu pun, konsep ini akan diperluaskan lagi agar ia lebih santai dan kali ini lebih menekankan mengenai gaya hidup (lifestyle).

Malah, lebih istimewa, Best FM kini tidak lagi hanya berfokus kepada pendengar di selatan tanah air sebaliknya semakin ‘merebak’ hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut, Zass berjaya menemu ramah Ketua Pegawai Eksekutif baharunya, Yusry Abu Samah dalam satu sesi fotografi, baru-baru ini.

Boleh anda ceritakan mengenai penjenamaan semula Best 104 FM?

Best FM adalah penjenamaan semula daripada Best 104 FM. Selaras dengan tagline baharu, Trend Muzik Gaya Baru, sasaran utama kami adalah kepada pendengar dari peringkat umur 20 ke 39 tahun.

Sebelum ini, Best 104 FM selesa dengan ‘tagline’ Sensasi Selatan dan kami sengaja menukarkan tagline tersebut kerana tidak mahu menunjukkan yang radio ini hanya dapat didengari di selatan saja. Ini kerana, mengikut perancangan yang ditetapkan, kami akan bergerak ke seluruh Semenanjung Malaysia, menjelang penghujung tahun ini.

Bagaimana konsep yang bakal dibawakan Best FM?

Kami mengetengahkan konsep gaya hidup. Malah, mulai awal tahun ini, kami sudah mula memainkan lagu-lagu mengikut konsep-konsep baharu di samping mengekalkan barisan lagu daripada konsep berlainan iaitu lagu keroncong. Selain itu, kami juga tetap memainkan lagu-lagu popular dari 1980-an, sehinggalah yang terkini.

Boleh nyatakan mengenai segmen yang dibawakan?

Terdapat enam segmen kesemuanya seperti Segmen Best 6-10 menampilkan pengisian yang berinformasi dan menghiburkan.

Pada jam 10 pagi hingga 1 petang, segmen Best Hits yang lebih santai dan menu serta tempat makan pilihan menjadi pengisian. Bermula dari jam 1 hingga 4 petang, segmen Best Café akan ke udara selain

menampilkan slot karaoke dalam segmen ‘Best Karok’. Slot petang pula, ‘Segmen 4-8’ beraksi dengan topik semasa serta layan apa yang sedang hangat di Facebook.

Tiba waktu malam pula, kami akan membawakan segmen Seleksi Best yang memutarkan pilihan lagu selain meneruskan segmen sedia ada dalam memainkan lagu-lagu keroncong dalam ‘Keroncong best’.

Pada hari minggu pula, kami ada carta lagu melalui segmen ‘Carta Best 30’. Selain itu, sempena Piala Dunia yang bakal berlangsung, kami juga akan melancarkan satu slot mengenai sukan antarabangsa itu pada pertengahan Mei ini.

Anda katakan Best FM sudah boleh didengari hampir di seluruh Semenanjung Malaysia. Komen anda?

Kami merancang penghujung tahun ini, kami akan memperluaskan penyiaran sehingga ke seluruh Semenanjung Malaysia. Begitu pun, kini Best FM sudah boleh didengari melalui radio melalui frekuensi 104.1 FM bagi kawasan di Johor Bahru, Singapura dan Lembah Klang, 94.8 FM (Melaka, Seremban, Johor Utara) dan 102.5 FM serta boleh didengari melalui online di www.best.com.my atau di telefon pintar melalui aplikasi Tune In yang boleh dimuat turun di Google Play.

Bagaimanakah sambutan peminat dengan perkembangan ini?

Ingin saya maklumkan, kawasan Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Temerloh, Pahang dan Tanjung Malim, Perak. Alhamdulillah, sambutan begitu baik.

Malah, kami ada dapat maklum balas daripada pendengar dan pemanggil yang di luar dari kawasan Johor Bahru seperti  Putrajaya dan Klang. Bukan itu saja, kami juga sudah banyak melakukan aktiviti di kawasan Lembah Klang. Paling terbaharu, kami baru saja turun ke I-City, Shah Alam pada Mac lalu.

Boleh ceritakan mengenai pembukaan studio baharu di Kuala Lumpur?

Dek mahu bergerak sehingga ke seluruh Semenanjung Malaysia, kami juga merancang untuk membuka sebuah studio baharu di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini.

Setelah pembukaan studio di sini, kami akan lebih fokus pada siaran radio yang meliputi seluruh negara manakala studio di Johor Bahru pula mengutamakan kandungan yang lebih bersifat kepada negeri tersebut.

Bagaimana anda melihat kepada persaingan apatah lagi banyak sekali radio swasta di Malaysia?

Saya tidak melihat ia sebagai satu persaingan yg hebat sebab kami ada keunikan tersendiri. Lagi pula kami lebih kepada dua perancangan yang berbeza iaitu daerah dan nasional.

Malah, kami juga ada identiti sendiri dan itu sudah menunjukkan satu perbezaan yang ketara. Jika kita lihat, kebanyakan radio swasta lain banyak mengambil pelawak sebagai penyampai radio.

Bagi kami pula, selain hiburan, kami lebih senang untuk mengetengahkan konsep gaya hidup seperti slot bagi sukan Piala Dunia di samping menonjolkan keunikan dengan memainkan lagu-lagu keroncong.

Apakah harapan anda?

Setakat ini, jumlah pendengar kami mencecah 500,000 pendengar. Saya berharap agar menjelang tahun hadapan, kami akan berjaya menjadi antara satu stesen radio swasta yang berada dalam kelompok lima terbaik.

Ini kerana, pada tahun lalu, berdasarkan daripada sebuah firma kajian penyiaran dikenali sebagai Nelson mengumumkan Best 104 FM adalah pertama tertinggi dari segi peratusan kenaikan pendengar setia dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 63 peratus.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");