Isu Panas

BN dekati pengundi muda

PRK

TELUK INTAN – Pergerakan Pemuda BN akan menggerakkan jentera parti untuk berjumpa lebih ramai pengundi muda menjelang PRK Parlimen Teluk Intan.

Naib Ketua Pemuda BN, Khairul Azwan Harun berkata, ini membolehkan mereka menjelaskan dasar dan program kerajaan pimpinan BN yang dilakukan untuk rakyat di setiap lokaliti.

“Pemuda BN akan turun padang memberi penjelasan kepada pengundi muda bahawa Teluk Intan perlu dikembalikan kepada BN.

“Pentadbiran negeri ini di bawah kerajaan BN tapi malangnya Parlimen Teluk Intan dikuasai oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat mengenai PRK Parlimen Teluk Intan di sini, hari ini.

Justeru itu, beliau menggesa Pemuda BN meningkatkan gerak kerja masing-masing terutama dalam usaha menemui seramai mungkin pengundi muda.

Beliau berkata penjelasan akan turut diberikan terutama kelemahan kerajaan pimpinan pembangkang di negeri yang ditadbir dan juga kelemahan wakil rakyat mereka terutama di Perak.

Khairul Azwan berkata, jentera Pemuda BN turut digerakkan untuk mendekati pengundi muda melalui media sosial kerana medan perang sebenar di kalangan generasi muda adalah dalam dunia siber.

“Oleh itu kita akan mengerakkan ‘cyber troopers’ kita untuk bergerak sebagai jentera penerangan dalam dunia maya agar pengundi muda dapat penerangan dan penjelasan yang jelas daripada kita,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda BN meramalkan parti itu mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi kerusi Teluk Intan kerana sokongan dan penerimaan yang positif daripada pengundi Melayu, India dan sebahagian pengundi Cina kini dapat dilihat.

Pilihan raya kecil Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Leong Peng, 48, menewaskan calon BN Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.

Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli hari pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");