Berita Hari Ini

Kuota 22,320 kekal

jamil khir

Yan: “Kuota jemaah haji pada tahun ini masih dikekalkan 22,320 orang,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika mengulas penularan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV) yang melanda Arab Saudi.

Beliau berkata, kerajaan tidak bercadang mengurangkan kuota jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ke Tanah Suci bermula Ogos ini, termasuk warga emas berusia 65 tahun ke atas dan kanak-kanak, walaupun dua golongan itu tidak digalakkan ke sana oleh kerajaan Arab Saudi.

“Lembaga Tabung Haji (TH) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menambah jumlah suntikan sedia ada sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jemaah dijangkiti virus terbabit.

“Kaedah digunakan Malaysia dalam menentukan kebolehan seseorang itu pergi ke Tanah Suci adalah berdasarkan kesihatan mereka yang dipantau dari awal.

“Di negara ini, setiap orang yang ingin menunaikan ibadat haji dan umrah mesti ada buku kesihatan dan berdasarkan buku itu kita memantau kesihatan mereka dan bukan mengambil kira masalah umur 65 tahun ke atas atau kanak-kanak.

“Kalau berusia 65 tahun ke atas tetapi masih sihat, selain golongan mendaftar awal, ia tidak menjadi halangan pergi ke sana, namun kita nasihatkan mereka supaya menjaga kesihatan,” katanya selepas merasmikan sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau, di sini, semalam.

Virus MERS-CoV, terutama di Makkah, Madinah dan Jeddah, dilaporkan meragut 126 nyawa sejak dikesan pada September 2012.

Negara mencatat kematian pertama akibat MERS-CoV pada 13 April lalu membabitkan lelaki berusia 54 tahun dari Batu Pahat, Johor yang mengerjakan umrah 29 Mac lalu.

Mengenai penipuan pakej umrah oleh sesetengah agensi pelancongan yang dilaporkan akhbar baru-baru ini, Jamil Khir berkata, beliau menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melakukan penguatkuasaan lebih ketat bagi memantau perkara terbabit.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");