Berita Hari Ini

Harum manis ikon Perlis

harum manis

BUAH harumanis kini tidak perlu lagi diperkenalkan. Isinya yang ranum, manis, berjus dan enak menambat deria rasa setiap yang merasanya.

Terkenal di negeri Perlis, permintaan yang tinggi di seluruh negara menjadikannya sebagai buah eksklusif, yang mesti dibawa pulang sebagai cenderamata sekiranya mengunjungi negeri ini.

Walaupun dijual dengan harga  tinggi, iaitu sekitar RM25 sekilogram, harumanis tetap menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara, malah ia hanya terdapat di Perlis dan dijual pada penghujungApril sehingga akhir Mei setiap tahun.

Menariknya, buah ini bukan sahaja manis tetapi aroma keharumannya akan terasa setiap kali ia dijamah sekali gus menjadikannya lebih istimewa berbanding buah mempelam lain.

Untung berlipat kali ganda

Bagi pengusaha ladang harumanis, Musa Darus, 72, penanaman pokok itu di tapak rumahnya umpama lubuk rezeki, malah setiap tahun keuntungan jualannya meningkat sehingga mencecah 50 peratus.

“Tahun lepas, saya memperoleh untung sehingga RM100,000. Pendapatan dahulu hanya RM10,000 ke RM12,000 tetapi selepas 2012, ia mula meningkat.

“Hal ini disebabkan kerajaan negeri mula memperkenalkan harumanis sebagai ikon Perlis kepada pengunjung luar selain menjadikannya hidangan istimewa pada majlis rasmi,” kata bekas pekerja di Jabatan Pertanian Negeri ketika ditemui di kediamannya, di Santan, dekat sini.

Katanya, kutipan hasil untuk sehari mencecah 500 kilogram (kg), manakala jualannya pula sekitar 200kg sehingga 300kg.

Musa berkata, penanaman harumanis itu bermula 1985 sehingga kini, namun hasil tidak seberapa berbanding sekarang selepas pihak pertanian memberi tunjuk ajar cara penanaman dan penjagaan pokok sehingga mendapatkan hasil.

Kini, ladang Musa mempunyai lebih 100 harumanis yang ditanam di sekitar kawasan rumahnya seluas satu hektar dengan usaha sama keluarganya.

Had permit petrol

Bagaimanapun, bermula tahun lepas, dia menghadapi kesukaran dalam pengurusan tanamannya selepas jabatan pengguna menguatkuasakan permit kepada pekebun kecildengan mengehadkan kadar pembelian petrol.

Musa berkata, dia hanya dibenarkan membeli petrol sebanyak 100 liter sebulan dan hal itu menyukarkannya yang kini memasang pagar elektrik di keliling ladang.

“Minyak itu banyak kegunaannya, bukan hanya terhad untuk kegunaan mesin racun saja tetapi turut digunakan untuk mengepam air dan kini saya memasang pagar elektrik dan menggunakan generator bagi menghasilkan tenaga,” katanya yang berharap jabatan pengguna
meneliti semula pemberian permit itu.

Ujarnya lagi, pemasangan pagar elektrik pada Ogos tahun lepas itu bagi mengelak kecurian harumanis yang kian menjadi-jadi, malah kejadian itu pernah menimpa dirinya pada 2003 yang menyebabkannya kerugian sebanyak RM1,500.

Menjelaskan mengenai teknologi dan teknik yang digunakannya dalam penjagaan pokok harumanis, Musa berkata, dia mementingkan rawatan khas pokok supaya hasil yang diperoleh besar dan bermutu.

“Seperti manusia, kita memerlukan vitamin untuk membesar dan sihat. Oleh itu, saya memberi bahan yang mengandungi ‘vitamin’ dan ‘kalsium’ kepada pokok bagi menggalakkan penghasilan buah selain mengelak daripada gugur sebelum matang,” katanya.

Musa berkata, selepas pokok mengeluarkan buah, dia akan menyembur racun serangga bagi menghalang serangan penyakit seterusnya membalut untuk menjaga kualiti dan mutu harumanis.

Dua jenis harumanis

Bagi penjual harumanis, Azizah Muhamad, 32, rasa bangga sebagai anak Perlis jelas terasa apabila pengunjung dari luar sering memuji keenakan buah itu.

Tambahnya, keseronokan itu berganda apabila melihat pengunjung gembira dan leka memilih harumanis untuk dibawa pulang sebagai cenderahati, malah dia rasa bangga apabila menjelaskan mengenai perbezaan harumanis  dengan buah mempelam yang lain.

Azizah berkata, kini harumanis boleh didapati dalam dua jenis iaitu harumanis emas dan biasa yang mana harumanis emas dibalut menggunakan kertas khas.

“Pengunjung sering bertanya cara mengenali harumanis dan perbezaan emas dan biasa,” katanya.

Pengalamannya yang lebih empat tahun dalam penjualan harumanis memudahkannya mengenali kualiti buah berkenaan sebelum dijual kepada pelancong.

“Mereka sering merungut ditipu dan ia boleh menjejaskan nama negeri dan produk itu yang kini menjadi tarikan utama pengunjung ke Perlis,” katanya yang kini menjual pulut dan jus harumanis di gerainya, Biyan selepas mendapat permintaan tinggi.

Katanya, permintaan harumanis tinggi pada musim cuti sehingga jualan mencecah 200kg sehari berbanding hari biasa iaitu 100kg saja.

Menurut Azizah, harga pasaran dilabel berdasarkan harga yang diperoleh daripada pembekal dan tidak mengikut gred yang ditetapkan.

“Pekebun jual dengan harga RM17 sekilo dan saya akan jual pada harga RM23, manakala bagi harga RM19 pula dijual dengan harga RM25 sekilo.

“Selalunya, harumanis berharga RM23 bersaiz kecil dengan kuantiti 3 biji sekilo. Bagi RM25 pula, kuantitinya sekitar sebiji ke dua biji sahaja,” katanya.

Permintaan luas

Sementara itu, Penolong Pegawai Pertanian, Bukit Bintang, Hasanuddin Awang berkata, harumanis bukan sahaja berjaya meningkatkan ekonomi penduduk malah turut memajukan industri pelancongan negeri.

Katanya, hasil daripada harumanis  memberangsangkan sejak usaha pihaknya memberi kesedaran mengenai penanaman, penjagaan dan pemasaran produk itu kepada orang awam berkesan sehingga ia kini mendapat permintaan meluas daripada luar negara.

Bagi pihak pertanian, beberapa proses dilakukan sebelum memasarkan harumanis kepada orang ramai.

Katanya, harumanis perlu melalui beberapa proses sebelum ia sedia dipasarkan iaitu bermula dengan proses membalut buah itu ketika bersaiz 16 sentimen (cm).

“Kita menggunakan alat sukat bersaiz 16 sentimeter, di sini (Bukit Bintang) putik harumanis dibalut menggunakan kertas putih yang ditanda dengan warna.

“Ia akan membezakan tarikh balutan bagi memudahkannya dikutip apabila cukup matang. Warna yang sama digunakan untuk balutan putik bagi tempoh lima hari,” katanya.

Kutip selepas lapan minggu

Menjelaskan mengenai proses itu, Hasanuddin berkata, selepas lapan minggu buah itu akan dikutip dan basuh dengan air bersih sebelum dirawat dalam air panas yang dicampur racun kulat.

Katanya, untuk rawatan itu, harumanis akan direndam dalam larutan bersuhu antara 48 sehingga 53 darjah Celsius selama lima minit bagi membunuh serangga perosak supaya buah tidak busuk semasa proses peram dilakukan.

“Ia bagi menjaga kualiti dan mutu buah itu ketika diperam selama 48 jam selepas proses pengeringan. Apabila cukup 48 jam, kita akan dedahkannya selama 8 jam pula sebelum gred buah itu mengikut saiz dan beratnya,” katanya.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");