Berita Hari Ini

Migrasi TEKS1M mula hari ini

myteks1m

KUALA LUMPUR – Pertukaran teksi bandar sedia ada kepada Teksi 1 Malaysia (TEKS1M) akan berkuatkuasa mulai hari ini.

Ia membabitkan 42,642 teksi bajet dan teksi eksekutif yang beroperasi di Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang, yang mencapai had 10 tahun.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, bagi tahun 2014 sejumlah 2,604 teksi bajet dan teksi eksekutif akan mencapai had umur berkenaan dan perlu ditukar.

Menurutnya, tempoh lanjutan selama enam bulan berakhir 31 Oktober depan diberikan untuk mana-mana teksi bajet dan eksekutif yang mencapai had usia ditetapkan sebelum menukarnya kepada TEKS1M.

“Selepas tempoh itu, semua teksi bajet dan eksekutif wajib ditukar kepada TEKS1M sebaik sahaja mencapai had usia.

“Dijangkakan dalam masa lima tahun akan datang, hampir 50 peratus daripada keseluruhan teksi bajet dan eksekutif ini akan mencapai had umur dan perlu ditukar,” katanya dalam sidang media, semalam.

Beliau berkata, migrasi teksi perlu dilakukan ke arah menyediakan perkhidmatan yang lebih baik setaraf teksi negara maju seperti London, New York, Tokyo dan Dubai.

Katanya, menerusi TEKS1M, satu model operasi teksi bandar yang seragam dan efisien dapat dilaksanakan.

“TEKS1M akan perkenal dasar-dasar baru termasuk penetapan spesifikasi minimum kenderaan dan had usia lebih singkat iaitu tujuh tahun termasuk ciri-ciri keselamatan serta keselesaan.

“Ia juga akan menggunakan sistem tempahan dan penghantaran teksi yang berdaftar, termasuk menyediakan insurans pelindungan kenderaan dan penumpang.

“Menerusi penyeragaman ini juga akan membenarkan penghantaran penumpang ke luar kawasan operasi berdasarkan permintaan dan kadar tambang berdasarkan kos yang lebih seragam dan berpatutan,” katanya lagi.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");