Membawang Hari Ini

Norish mahu bergelar profesor

norish

GENAP berumur 40 tahun Ahad lalu, pelakon versatil Norish Karman mengakui hidupnya kini disaluti bahagia biarpun tidak sempurna seperti orang lain. Dia ibu tunggal. Namun, hidupnya terisi dengan anak-anak iaitu Muhammad Haqiem Armany, 14, Muhammad Hardy Amieran, 10, Putri Hany Amanda, 9 dan Haq Lutfie Alexander, 2.

Dia tinggal di rumah yang cukup selesa. Dia juga mempunyai sumber pendapatan yang tidak putus-putus berkat menjadi pelakon, penyanyi, penceramah motivasi di universiti-universiti, dan ahli bisnes katering.

“Pada usia 40 tahun ini, hidup saya bahagia. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut. Kalau boleh, saya tidak mahu orang tahu tempat tinggal saya.

Bukan sebab takut kepada stalker (penghendap) tetapi orang selalu salah faham. Bila kita janda dan boleh hidup di tempat seperti ini (kediaman mewah), orang akan cakap bukan-bukan. Seperti orang yang ada suami sahaja boleh tinggal tempat macam ini.

“Namun itu semua tidak benar. Saya boleh tinggal di tempat sebegini sebab saya buat pelbagai jenis kerja. Alhamdulillah, tidaklah jadi jutawan tetapi boleh beri anak makan dan tempat tinggal yang selesa,” tutur Norish ketika ditemui di rumahnya yang terletak di kawasan Mont Kiara, Kuala Lumpur, bersempena sambutan hari jadinya yang ke-40 Ahad lalu.

Memilih tema sukan (sporty) untuk hari jadinya kali ini, ujar Norish atau nama sebenarnya Nor’asikin Karman, dia tidak mahu mengambil kisah tentang angka umur yang kian bertambah.

Katanya, walaupun lelaki atau perempuan jangan risau mengenai umur. “Hidup dengan seadanya. Tak perlu (hidup) diremehkan dengan (isu) umur dan bergembiralah,” tegas Norish.


Kahwin

Tidak menutup pintu hatinya untuk berumah tangga, Norish bagaimanapun meletakkan syarat. Pelakon filem Sayang Salmah itu cuma akan berkahwin dengan lelaki yang benar-benar menyayangi anaknya.

“Buat masa ini, saya belum ada lagi (teman lelaki). Anak-anak ada suruh pergi dating. Tetapi, saya sibuk dengan kerja. Menguruskan anak-anak lagi. Kalau boleh, saya tidak mahu berkahwin dengan membebankan suami untuk menjaga anak-anak saya. Bantu boleh tetapi tidak sehingga menyusahkan. Asalkan dia menyayangi anak-anak saya itu sudah memadai,” luahnya yang tidak memilih bakal suami dari golongan kaya.

Banyak lagi yang ingin dicapai dalam hidup, Norish berhasrat untuk menamatkan pelajarannya sehingga ke peringkat ijazah doktor falsafah PhD dalam bidang sains sosial dan psikologi.

“Mungkin orang lihat saya sudah ada macam-macam. Tetapi, secara peribadinya kita tahu kekurangan diri sendiri dan apa yang kita mahukan.

“Saya belum sempat habiskan pelajaran saya dalam PhD dalam bidang sains sosial dan psikologi, tetapi saya akan habiskan. Saya mulakan pengajian sejak dua tahun lalu tetapi berhenti dan kini saya sambung semula,” ujarnya yang menyimpan impian untuk bergelar profesor suatu hari nanti, namun enggan mendedahkan nama universiti tempat dia menyambung pengajiannya itu.

Kongsi Norish, hidup juga perlu ada jalinan dengan individu lain.

“Saya rasa apa yang saya buat seperti menyanyi, berlakon dan memberi motivasi di universiti adalah sebagai platform untuk berhubung dengan orang lain. Jadi artis sahaja tidak mencukupi. Kena ada rasa tanggungjawab terhadap individu yang memerlukan bantuan,” katanya.


Ibu tunggal

Sebagai ibu tunggal dalam membesarkan anak-anak, Norish mendapat semangat daripada anak-anak. Bekerja keras dengan kelebihan yang dikurniakan Tuhan.

Namun, hatinya tertanya-tanya bagaimana dengan nasib ibu tunggal yang tiada kelebihan dan tidak tahu berbuat apa-apa untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya bekerja keras boleh duduk rumah macam ini. Boleh bernyawa. Menjadi ibu tunggal tidak ada kelebihan apa-apa. Golongan ini hanya dibantu masa bulan puasa dan hari raya sahaja.

“Sebenarnya, kita boleh salur bantuan hari-hari tidak perlu menunggu sehingga puasa atau hari raya kepada golongan yang memerlukan,” jelasnya yang jika ada kelapangan akan memasak dan hasil masakan itu disedekahkan kepada ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan gelandangan.

Buat masa sekarang, Norish juga sedang sibuk menyiapkan buku masakan dan juga buku mengenai kisah hidupnya.

“Insya-Allah, tahun ini juga saya akan keluar dengan buku masakan sendiri. Semua yang terkandung adalah resipi ciptaan saya sendiri.

“Selain itu, saya juga akan keluarkan buku mengenai kisah hidup. Dari zaman menjadi model sehingga sekarang,” luahnya yang tidak mahu lagi orang ramai salah faham mengenai dirinya dan akan menjelaskan semua mengenai dirinya di dalam buku tersebut.

-kosmo

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");