Jenayah

Nyawa ibarat telur di hujung tanduk

risau

PETALING JAYA – “Nyawa kami ibarat telur di hujung tanduk,” begitulah kebimbangan yang diluahkan oleh salah seorang penghuni di Kondominium Indah, Prima Damansara, Hartini Marinsah, 35, berikutan daripada masalah pergerakan tanah tebing yang hanya beberapa meter dari blok kediaman penduduk di sini.

Lebih menggerunkan, Hartini memaklumkan bahawa keadaan itu dilihat semakin berisiko memandangkan berlaku pergerakan tanah dan menyebabkan lubang besar di kawasan berkenaan akibat hujan lebat, Selasa lalu.

“Pergerakan tanah di tebing ini berlaku disebabkan oleh kerja-kerja di tapak projek pembangunan bersebelahan blok kediaman penduduk di sini,” katanya.

Hartini berkata, walaupun keadaan tebing itu telah disimen selepas kejadian pada Selasa lalu, ia dikhuatiri akan berulang memandangkan struktur tanah tidak kukuh.

Jelasnya, sebelum ini, sebatang pokok besar berhampiran kawasan kediaman penduduk itu tumbang disebabkan keadaan struktur tanah yang tidak kuat dan menyebabkan permasalahan tersebut.

“Walaupun disimen, keadaan di bawah kosong dan tak selamat sebab tak ada penahan. Ia mampu ragut nyawa penduduk di sini,” katanya.

Bimbang dengan keadaan berkenaan, Hartini memaklumkan keadaan tanah di sini mula menjadi tidak kukuh disebabkan oleh kerja-kerja penanaman cerucuk yang dijalankan di tapak projek tersebut.

Tambahnya, keadaan bangunan di sini juga mula retak dan menimbulkan kegusaran kepada kira-kira 200 penghuni yang menetap di situ.

Azmi Wan Mohd Noor, 34, pula berkata, keadaan simen berkenaan tidak kukuh dan pihak bertanggung jawab sewajarnya mencari langkah alternatif bagi menyelesaikan permasalahan ini.

Menurutnya, permasalahan tersebut bermula sejak awal tahun lalu dilihat tidak mendapat tindakan sewajarnya oleh pihak berkenaan walaupun beberapa aduan dipanjangkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kondominium Indah, Rukkumani Sinnatanby berkata, pihaknya telah membuat laporan berhubung keadaan pergerakan tanah dan lubang yang berlaku berhampiran kediaman penduduk kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Menurutnya, disebabkan pegawai terlibat lambat turun padang, pihaknya terpaksa memberi kebenaran kepada pemaju menyimen tebing itu terlebih dahulu bagi menggelakkan keadaan lebih berisiko berlaku.

“Pemaju memohon untuk menyimen lubang itu kerana bimbang jika hujan turun, ia akan menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.

Rukkumani berkata, selepas pegawai MBPJ turun meninjau lokasi berkenaan, mereka mengarahkan supaya pemaju menyerahkan laporan penuh mengenai pergerakan tanah itu dan ia dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Katanya, pihaknya tidak dapat membuat sebarang tindakan sehingga pemaju menyerahkan laporan pergerakan tanah itu kepada MBPJ.

“Kita faham penduduk tertekan, tapi pihak kami telah membantu sedaya yang mungkin dan kini kami mengharapkan agar pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Katanya, penduduk diharap bersabar buat sementara waktu, memandangkan langkah penyelesaian sedang diambil oleh pemaju dan MBPJ bagi menyelesaikan perkara ini.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");