Sukan Hari Ini

Prestasi beregu buat Rashid resah


Hoon Thien How (kanan) dan Tan Wee Kiong diharap dapat sumbang mata kepada kem negara di New Delhi, bulan ini:-

PRESTASI tidak menentu pemain beregu lelaki mencetuskan rasa resah dan kurang senang Ketua Projek Piala Thomas yang juga ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek menjelang saingan Piala Thomas di New Delhi, India bermula 18 Mei ini.

Rashid mengakui segala persiapan akhir telah dilakukan oleh mereka dan yakin bahawa pasukan negara sudah bersedia untuk menghadapi kejohanan tersebut, namun katanya masih ada sedikit keresahan mengganggu fikirannya.

Menurutnya, mereka masih menghadapi sedikit masalah apabila pasukan beregu negara masih lagi tidak konsisten meskipun bahang kejohanan berprestij itu hanya tinggal dua minggu sahaja lagi.

“Memang kami masih berdepan dengan masalah beregu yang tidak konsisten, namun itu tidak menggugat misi kami kerana kami masih mampu untuk memberi saingan kepada pihak lawan dan kami akan menghadapi mereka satu demi satu.

“Persediaan dari segi mental dan fizikal adalah antara perkara yang kami berikan tumpuan dalam usaha merealisasikan matlamat kami dalam misi membawa pulang Piala Thomas,” katanya.

Jelas Rashid, selain keutamaan latihan fizikal di atas gelanggang ketika ini, setiap pemain juga akan diingatkan mengenai kejayaan kali terakhir Malaysia menjulang piala prestij itu dengan menceritakan detik kejayaan itu selain memainkan ulang tayang video peristiwa berkenaan.

Pemain juga didedahkan dengan ulang tayang video pasukan lawan yang akan ditemui pada saingan Piala Thomas.

“Apa yang kami tekankan ketika ini lebih kepada analisis perlawanan. Kami juga lebih memberi tumpuan menganalisis corak permainan lawan yang akan kita jumpa nanti,” katanya.

Malaysia, yang kali terakhir merangkul kejuaraan berprestij itu pada 1992 di Kuala Lumpur, diletak dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, India dan Jerman manakala China berada di dalam Kumpulan D bersama-sama Taiwan, Rusia dan Perancis.

– Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");